Daerah Jasin | |
|---|---|
| Transkripsi lain | |
| • Jawi | جاسين |
| • Cina | 野新县 |
| • Tamil | ஜாசின் |
![]() | |
Lokasi Daerah Jasin di Malaysia | |
| Koordinat: 2°18′22″N 102°25′23″E / 2.306003653389242°N 102.4229269998803°E | |
| Negara | |
| Negeri | |
| Pusat | Jasin |
| Pihak berkuasa tempatan | Majlis Perbandaran Jasin (timur) Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (barat) |
| Pentadbiran | |
| • Pegawai daerah | Rahizi Ranom[1] |
| Keluasan | |
| • Jumlah | 676.07 km2 (261.03 batu persegi) |
| Penduduk (2020) | |
| • Jumlah | 151,937 |
| • Kepadatan | 220/km2 (580/batu persegi) |
| Zon waktu | UTC+8 (MST) |
| • Musim panas (DST) | UTC+8 (Tidak diamalkan) |
| Poskod | 77xxx |
| Kod panggilan | +6-06 |
| Nombor plat kenderaan | M |
Jasin (Jawi: جاسين) merupakan salah satu daripada tiga daerah yang membentuk negeri Melaka, Malaysia. Daerah ini merupakan daerah yang paling luas di negeri tersebut dengan keluasan merangkumi 676.07 kilometer persegi.[2] Dari segi kedudukan geografi, daerah Jasin terletak di bahagian timur negeri Melaka dan bersempadan dengan daerah Tampin, Negeri Sembilan di sebelah utara, manakala di sebelah timurnya pula bersempadan dengan daerah Tangkak, Johor.[3] Selain itu, daerah ini turut bersempadan dengan daerah Alor Gajah di bahagian barat laut dan daerah Melaka Tengah di sebelah barat.[3]
Pusat pentadbiran daerah ini pada asalnya diuruskan oleh Majlis Daerah Luar Bandar Jasin yang ditubuhkan pada tahun 1959, sebelum dinaik taraf dan diberi pengiktirafan sebagai Majlis Daerah Jasin pada 1 Julai 1978.[4] Selari dengan kepesatan pembangunan dan kemajuan infrastruktur, badan pentadbiran ini kemudiannya telah diisytiharkan secara rasmi sebagai Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) pada 1 Januari 2007.[4] Walau bagaimanapun, sebahagian daripada kawasan dalam daerah Jasin kini turut diletakkan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya bagi penyelarasan pembangunan kawasan bandar yang lebih efisien.[5]
Sejarah
Sejarah Awal Pembukaan Bandar Jasin
Sejarah awal pembukaan bandar Jasin bermula pada tahun 1918 iaitu di kawasan Kesang Pajak yang mengikut aliran sungai.[6]Bagaimanapun, tragedi kebakaran telah mengubah kedudukannya sebagai sebuah pekan kecil. Seorang pendatang berketurunan Bugis, Mat Yasin membangunkan semula kawasan itu pada tahun 1928. Usaha beliau telah mendapat kerjasama pihak Inggeris dan kawasan itu dipanggil Jasin (mengikut sebutan orang Inggeris) bersempena dengan nama Yasin. Sejak itu bandar Jasin mula berkembang.[6]
Dengan berkuatkuasanya Undang-undang Malaysia Akta Kerajaan Tempatan 1976, seperti mana juga dengan Penguasa-penguasa Tempatan yang lain di negara ini, Majlis Daerah Luar Bandar Jasin (Jasin Rural District Council) yang ditubuhkan pada tahun 1959 telah diberi pengiktirafan sebagai Majlis Daerah Jasin iaitu pada 1 Julai 1978.[4]
Zaman Kesultanan Melayu Melaka
Tidak terdapat banyak dokumen mengenai daerah Jasin dalam zaman Kesultanan Melayu Melaka. Tidak juga terdapat peta-peta lama untuk dijadikan panduan dalam mengenalpasti penempatan-penempatan di zaman tersebut. Sehingga kini kita tidak lagi mengetahui kampung-kampung mana yang terdapat di daerah ini kecuali Hulu Duyung.[perlu rujukan]
Salah satu dokumen yang wujud menceritakan mengenai Jasin ialah Hikayat Hang Tuah. Di dalam hikayat tersebut ada menceritakan bahawa Hang Tuah telah difitnah oleh orang lalu beliau dikenakan hukuman bunuh. Bendahara Tun Perak telah ditugaskan untuk menjalankan hukuman tersebut. Bendahara Tun Perak telah mengetahui dari awal bahawa Hang Tuah tidak bersalah dan hukuman itu tidak dilaksanakan sebaliknya Bendahara menyembunyikan Hang Tuah di Hulu Melaka (Hulu Duyung). Di sinilah beliau tinggal bersama-sama dengan seorang pendita (petapa) sehingga beliau dibawa balik ke Melaka untuk menentang Hang Jebat. Hulu Duyung yang dimaksudkan itu terletak di Jasin iaitu di sekitar Gapam, Bemban. Kemungkinan terdapat sebuah perkampungan kecil di situ yang wujud suatu waktu dahulu.[perlu rujukan]
Oleh kerana hanya Hulu Melaka sahaja yang terdapat di dalam dokumen lama, dapat dibuat kesimpulan bahawa kampung ini merupakan sebuah kampung yang tertua yang pernah wujud di daerah ini.[perlu rujukan]
Satu peristiwa bersejarah yang terdapat di dalam Sejarah Melayu dan juga hikayat Hang Tuah ialah peristiwa peminangan Puteri Gunung Ledang. Peristiwa peminangan tersebut diketuai oleh Tun Mamat. Tun Mamat berjaya sampai ke puncak gunung dan bertemu dengan puteri tersebut.[perlu rujukan]
Mengikut tradisi lisan, rombongan meminang Puteri Gunung Ledang itu merentasi hutan dengan melalui Jasin. Semasa dalam perjalanan, Tun Mamat dan rombongannya singgah berehat di Jasin dan tempat singgahannya iaitu di Rim. Sepanjang perjalanan mereka itu, tidak dinyatakan bahawa mereka bertembung dengan mana-mana perkampungan orang. Oleh itu dapat diyakinkan bahawa kawasan Jasin pada suatu masa dahulu dipenuhi dengan hutan belantara.
Semasa singgah di Rim, Tun Mamat dikatakan telah menggali sebuah telaga dan telaga tersebut digelar Telaga Tun Mamat. Telaga tersebut terletak di kawasan Rim, Jasin. Malangnya, telaga itu telah ditimbus untuk melaksanakan projek Padang Bola Rim.[perlu rujukan]
Satu lagi peristiwa bersejarah di zaman Kesultanan Melayu Melaka yang terdapat di Jasin ialah kemangkatan Tun Teja di Merlimau. Ketika Melaka diserang dengan hebatnya oleh Portugis, Sultan Mahmud Shah dengan diiringi pengikut-pengikut setianya telah mengundurkan diri ke Bentayan (Muar). Pada waktu itu, Tun Teja sedang gering dan terpaksa ditandu sepanjang jalan. Akhirnya beliau meninggal dunia dan dikebumikan di Merlimau. Pada waktu itu Merlimau belum lagi didiami orang. Begitu juga sepanjang jalan pengundurannya itu, tidak terdapat sebarang perkampungan kerana tidak tercatat di dalam dokumen tersebut.[perlu rujukan]
Daripada peristiwa-peristiwa yang diceritakan di atas, tidak wujud sebarang bukti yang menunjukkan terdapatnya perkampungan orang tempatan di daerah Jasin kecuali di sekitar Gapam, semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka. Namun demikian, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat suku-suku orang darat yang mendiami hutan belantara Jasin tersebut. Mungkin juga terdapat beberapa kelompok menusia yang mendiami tebing-tebing sungai di daerah ini.[perlu rujukan]
Penubuhan Jabatan Kerajaan di Jasin
Bagi melicinkan lagi perlaksanaan undang-undang tanah di Daerah Jasin, Pejabat Daerah Jasin diwujudkan pada tahun 1887. Pejabat Daerah Alor Gajah pula ditubuhkan dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1889.
Yang mengetuai pentadbiran di peringkat daerah ialah Pegawai Daerah atau District Officer. Tugas beliau selain daripada mengetuai pentadbiran peringkat daerah juga merupakan:
- Hakim (Majistret)
- Coroner
- Pegawai Tanah
- Pengurus Am
Dengan perkataan lain, Pegawai Daerah merupakan orang yang paling berkuasa di daerah tersebut. Dia berkuasa menjatuhkan hukuman seolah-olah dia pembesar daerah tersebut. Pada tahun 1886, telah diwujudkan satu jawatankuasa iaitu Assistant Superintendent of Forest. Pada tahun yang sama, sistem polis telah dipergiatkan. Hospital Jasin dan Hospital Alor Gajah pula ditubuhkan pada tahun 1899.
Pada tahun 1914, buat pertama kalinya surat dari Melaka telah dihantar ke Jasin dengan menggunakan kereta dan pada tahun tersebut, terdapat kira-kira 50 sehingga 60 buah kereta terdapat di atas jalanraya negeri Melaka.[7]
Pentadbiran

Daerah Jasin ditadbir oleh dua pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Jasin di timur dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya di barat. Pusat pentadbiran daerah ini terletak di Jasin dan terbahagi kepada 20 buah mukim, dua bandar dan sembilan pekan.[2][6]
Mukim
Bandar dan pekan
Geografi
Daerah Jasin terletak di timur negeri Melaka bersempadan dengan daerah Tampin, Negeri Sembilan di utara, daerah Tangkak, Johor di timur, daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah di barat dan Selat Melaka di selatan. [3]
Topografi Jasin terdiri daripada kawasan tanah rendah yang beralun di bahagian selatan dan tengah, yang sebahagian besarnya telah dibangunkan sebagai kawasan pertanian dan perladangan getah serta kelapa sawit.[6] Di bahagian timur laut, landskapnya mula beralih kepada kawasan berbukit-bukau yang merupakan sebahagian daripada kaki banjaran Gunung Ledang.[3]
Sumber Air dan Ekologi
Jasin mempunyai sistem saliran yang penting bagi negeri Melaka. Sungai Kesang merupakan sungai utama yang bukan sahaja bertindak sebagai sempadan negeri, malah menjadi nadi kepada ekosistem kawasan tersebut.[6] Selain itu, terdapat Empangan Jus yang berkeluasan sekitar 5.5 km², berfungsi sebagai takungan air mentah utama bagi menampung keperluan penduduk di daerah Jasin dan kawasan sekitarnya.[3]
Di bawah Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Jasin 2035, sebahagian besar kawasan di utara Jasin seperti Empangan Jus dan Asahan telah diwartakan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 2 bagi melindungi sumber air negeri.[6]
Iklim
Iklim di daerah ini ialah iklim khatulistiwa (Af).[8] Purata suhu ialah 27.22 °C (81.0 °F). Bulan Mei merupakan bulan yang paling panas di kawasan ini dengan suhu mencecah 27.9 °C (82.2 °F). Bulan Disember dikategorikan sebagai bulan paling sejuk dengan suhu 26.5 °C (79.7 °F).[8] Purata kerpasan di Jasin adalah 2050.6 milimeter pertahun. Bulan November merupakan bulan paling tinggi kerpasan dengan 229.9 milimeter manakala bulan yang paling rendah pula Februari dengan 89.3 milimeter.[8]
| Data iklim untuk Jasin (1990-2019) | |||||||||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| Bulan | Jan | Feb | Mac | Apr | Mei | Jun | Jul | Ogo | Sep | Okt | Nov | Dis | Tahun |
| Purata suhu harian, °C (°F) | 26.7 (80.1) |
27.3 (81.1) |
27.6 (81.7) |
27.7 (81.9) |
27.9 (82.2) |
27.6 (81.7) |
27.3 (81.1) |
27.2 (81.0) |
27.1 (80.8) |
27.0 (80.6) |
26.7 (80.1) |
26.5 (79.7) |
27.2 (81.0) |
| Purata kerpasan, mm (inci) | 105.7 (4.16) |
89.3 (3.52) |
161.4 (6.35) |
196.6 (7.74) |
180.3 (7.10) |
165.4 (6.51) |
168.3 (6.63) |
180.6 (7.11) |
186.4 (7.34) |
220.9 (8.70) |
229.9 (9.05) |
165.8 (6.53) |
2,050.6 (80.74) |
| Sumber: ClimateCharts[8] | |||||||||||||
Demografi
| Tahun | Pend. | ±% |
|---|---|---|
| 1970 | 84,816 | — |
| 1980 | 87,523 | +3.2% |
| 1991 | 92,771 | +6.0% |
| 2000 | 101,659 | +9.6% |
| 2010 | 131,539 | +29.4% |
| 2020 | 151,937 | +15.5% |
Berdasarkan bancian Malaysia 2020 jumlah penduduk di Daerah Jasin ialah seramai 151,937 orang dengan kepadatan penduduk 224 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk padat. Majoriti penduduk di daerah ini merupakan Bumiputera, membentuk lebih 81 peratus penduduk. Kaum kedua terbesar merupakan kaum Cina diikuti India. Lebih lapan peratus penduduk merupakan bukan warganegara.[9]
Nisbah penduduk lelaki kepada penduduk wanita ialah 116:100. Terdapat 51,148 tempat kediaman dengan sebanyak 39,361 isi rumah. Purata saiz isi rumah pula dicatatkan seramai empat orang dalam sebuah rumah. Lebih 109 ribu penduduk dalam kalangan umur bekerja, 29 ribu dalam golongan muda dan selebihnya 12 ribu orang merupakan warga tua.
| Kewarganegaraan | Kaum | Jumlah |
|---|---|---|
| Warganegara Malaysia | Bumiputera | 113,207 |
| Cina | 12,945 | |
| India | 12,024 | |
| Lain-lain | 525 | |
| Bukan warganegara | N/A | 13,236 |
Agama
Majoriti penduduk di daerah Jasin beragama Islam yang terdiri daripada penduduk berbangsa Melayu dan beberapa etnik lain. Agama kedua terbesar merupakan agama Buddha yang kebanyakannya dianuti penduduk berbangsa Cina. Agama ketiga terbesar merupakan agama Hindu yang majoritinya terdiri daripada penduduk berbangsa India. Penduduk berbangsa bumiputera lain dan etnik yang lain terdiri daripada mereka yang menganut Kristian dan beberapa agama lain serta tidak beragama.[9]
| Agama | Jumlah |
|---|---|
| Islam | 118,087 |
| Buddha | 13,097 |
| Hindu | 12,542 |
| Kristian | 1,642 |
| Lain-lain | 648 |
| Tidak beragama | 239 |
| Tidak diketahui | 5,682 |
Pendidikan
Sektor pendidikan merupakan antara komponen terpenting dalam pembangunan modal insan di daerah Jasin. Pentadbiran pendidikan di sini diuruskan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jasin yang bertanggungjawab menyelaraskan institusi pendidikan bermula daripada peringkat prasekolah sehingga ke peringkat menengah.[10] Jasin dikenali sebagai sebuah hub pendidikan di Melaka kerana mempunyai pelbagai jenis sekolah berprestasi tinggi dan institusi pengajian tinggi yang signifikan.
Sekolah rendah dan menengah
Terdapat banyak sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) yang mempunyai sejarah panjang, antaranya SK Jasin yang diasaskan pada tahun 1926, serta sekolah-sekolah lain seperti SK Selandar dan SK Bukit Senggeh.
Antara sekolah menengah harian utama termasuklah SMK Iskandar Shah, SMK Datuk Bendahara, dan SMK Dang Anum.
Institusi Pengajian Tinggi dan Pendidikan Teknikal
Pembangunan pendidikan tinggi di Jasin dirancang secara strategik melalui konsep Lingkaran Kluster Pendidikan yang menghubungkan pusat-pusat pengajian dari utara (Selandar/Asahan) hingga ke selatan (Merlimau/Sungai Rambai). Kluster ini bertujuan menjadikan Jasin sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang teknologi perisian, kejuruteraan, pertanian moden, dan industri kreatif.[6]
Institusi Sedia Ada
Sehingga kini, daerah Jasin menempatkan pelbagai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan institusi latihan kemahiran yang menawarkan pengajian dalam bidang-bidang kritikal:[6]
- Universiti Teknologi MARA Melaka (UiTM) cawangan Jasin, Semujok juga dikenali sebagai Kampung Seri Mendapat: Memfokuskan kepada Fakulti Sains Komputer dan Matematik (teknologi perisian dan sistem) serta Fakulti Perladangan dan Agroteknologi.
- Politeknik Merlimau Melaka: Menawarkan program dalam bidang kejuruteraan (elektrik, mekanikal, awam), perdagangan, dan hospitaliti.
- Kolej Komuniti: Terdapat dua cawangan utama iaitu Kolej Komuniti Jasin dan Kolej Komuniti Selandar yang menawarkan kursus seperti sistem komputer, rangkaian, dan perniagaan.
- Kolej Vokasional: Terdiri daripada Kolej Vokasional Jasin dan Kolej Vokasional Selandar yang melatih pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional.
- Institusi Kemahiran & Latihan: Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar: Pakar dalam teknologi komputer, minyak dan gas, serta rekabentuk produk.
- Institut Kemahiran MARA (IKM) Jasin: Memberi tumpuan kepada teknologi automotif, kimpalan, dan elektrik.
- Pusat GIATMARA: Terdapat di Bandar Merlimau dan Sungai Rambai yang menawarkan kemahiran jangka pendek seperti teknologi fesyen dan automotif.
Perancangan Masa Depan (Rancangan Tempatan 2035)
Di bawah perancangan MP Jasin 2035, beberapa institusi dan pusat inkubator baharu telah dicadangkan bagi memperkukuhkan ekosistem pendidikan di daerah ini,[6] dengan anggaran kos pembangunan sekitar RM118 juta:
- Institusi Halal Hub Melaka: Cadangan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di kawasan Serkam/Umbai.
- Kolej Universiti Creative & Art: Direncana untuk menyokong industri kreatif, animasi, dan multimedia.
- Pusat Inkubator: Termasuk Inkubator Kraftangan & Agro-Kulinari di kawasan Asahan serta Inkubator Ecotourism di utara Jasin.
Pengangkutan

Jasin boleh dihubungi melalui Lebuh Raya Utara-Selatan di persimpangan Tol Jasin.(14 kilometer dari Bandar Jasin dan 18 kilometer dari Pekan Merlimau) Jasin juga boleh dihubungkan melalui Lebuh Raya tersebut melalui susur keluar Tol Ayer Keroh (20 km dari Bandar Jasin) atau Tol Tangkak (18 kilometer dari Pekan Jasin). Landasan kereta api memasuki bahagian utara daerah Jasin. Jasin boleh dihubungi melalui kereta api menerusi Stesen kereta Api Batang Melaka yang baru dan moden. stesen ini telah menggantikan stesen lama KTM yang telah dipindahkan lokasinya ke dalam wilayah Negeri Melaka melalu program landasan berkembar elektrik. Perkhidmatan KTM Komuter dan ETS dijangka akan beroperasi tidak lama lagi. Hal ini akan memberi kemudahan kepada penduduk di Bandar Jasin dan sekitarnya untuk ke Kuala Lumpur dengan tren komuter atau ETS pada masa yang akan datang. Tidak perlu lagi ke Bandaraya Melaka untuk ke Kuala Lumpur. Jaraknya 22 kilometer dari Bandar Jasin, 10 kilometer dari Pekan Selandar.
Walau bagaimanapun Stesen Kereta Api Pulau Sebang di Alor Gajah (dahulu dikenali Stesen KTMB Tampin) merupakan stesen KTMB yang utama bagi seluruh Negeri Melaka kerana stesen ini semua jenis ekspres KTMB berhenti berbanding stesen Batang Melaka hanya jenis tren Ekspres Sinaran Pagi dan Ekpres sinaran Petang (Kuala Lumpur-Singapura-Kuala Lumpur). Orang ramai boleh menggunakan kenderaan teksi dan bas untuk ke Jasin yang mengambil masa 50 minit jika berkereta dari KTMB Pulau Sebang. Namun demikian daerah Jasin juga terlibat dengan projek landasan kereta api berkembar elektrik antara Seremban dan Gemas turut melalui daerah Jasin. Sebuah stesen kereta api yang baru akan dibina di Batang Melaka yang mana lokasinya terletak dalam wilayah Negeri Melaka beberapa meter sahaja dari stesen KTMB Batang Melaka sekarang ini. Siapnya projek ini pada tahun 2012 akan menjadi mercu bagi daerah Jasin khususnya Pekan Batang Melaka, Nyalas dan Selandar yang akan mempunyai stesen kereta api yang moden berbanding sekarang yang letaknya dalam kawasan Negeri Sembilan.Selain itu Perhentian bas Bandar Jasin menghubungkan pengangkutan ke Tangkak dan Bandaraya Melaka selain pekan-pekan kecil yang lain di Jasin. Syarikat Kenderaan Aziz dan Cepat Ekspres melalu Bandar Jasin sebelum meneruskan perjalanan ke pantai timur dari Bandaraya Melaka.
Tarikan pelancongan
Dataran Jasin
Dataran Jasin terletak kira-kira 800 meter dari pusat bandar Jasin dan ia merupakan tempat beriadah bagi kanak-kanak dan juga orang dewasa. Disini terdapat pelbagai kemudahan seperti tempat refleksi, taman permainan, dataran, pentas serta aktiviti sukan lasak bagi mereka yang berminat terhadap sukan tersebut dan pondok istirahat.[11]
Muzium Pertanian
Muzium Pertanian terletak ditengah-tengah Pekan Jasin. Sebelum dijadikan muzium, bangunan ini merupakan Pejabat Pos pertama di Bandar Jasin iaitu kira-kira 30 km dari Bandar Melaka. Muzium ini diwujudkan untuk memaparkan fakta dan mitos asal Jasin sebagai salah satu penempatan perkembangan wilayah yang agak penting bagi Melaka.[12]
Makam Datuk Senara
Tok Senara ataupun Mat Yassin merupakan orang yang bertanggungjawab membangunkan kawasan Jasin. Dikatakan Tok Senara dimakamkan di Pekan Jasin (bersebelahan dengan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jasin). Jarak diantara makam dengan Bandaraya Melaka ialah kira-kira 30 km.[13]
Makam Tun Teja
Makam yang terletak di Merlimau ini dipercayai sebagai makam Tun Teja Ratna Benggala anak kepada Seri Amar Diraja Bendahara, Pahang (Inderapura). Tun Teja ialah isteri kepada Sultan Mahmud Shah (1458-1511) apabila Melaka ditawan olen Portugis pada tahun 1511 baginda telah berundur ke Bentayan (Muar), semasa pengunduran inilah Tun Teja yang ketika itu sedang gering dan mangkat. Jasadnya dipercayai dimakamkan di sini dengan penuh adat istiadat. Tun Teja bukan sahaja seorang wanita yang jelita dan berhemah tinggi bahkan seorang isteri yang setia serta disayangi oleh Sultan dan telah menumpukan sepenuh taat setia kepada negeri ini. Beliau juga telah membangkitkan semangat kepahlawanan dikalangan wanita Melayu negeri ini untuk turut sama mempertahankan negeri ini dari serangan Portugis, segala jasa dan pengorbanan beliau akan tetap dikenang buat selamanya.[14]
Rumah Melayu Tradisional Sungai Rambai
Demang Haji Jaafar b Hj Awang dilahirkan di Belembang pada tahun 1850. Anak kelahiran Johor ini telah merantau dan membuka sebuah penempatan yang diberi nama Kampung Sungai Rambai. Pembukaan kampung ini dibantu oleh rakan-rakan setianya seperti Sidang Hamzah, Meleh bt Abu Bakar dan Kerisik (berketurunan Bugis yang merupakan rakan beliau yang paling rapat), Chung Liong, Chung Luang, An Ngi dan Ah Ding. Selain dikenali sebagai seorang pendekar yang kebal, beliau juga disegani kerana ilmu agamanya yang tinggi dan ketegasannya dalam menjalankan tugas sebagai Demang. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1944 ketika berusia 94 tahun. Rumah ini kini dimiliki oleh Encik Kamaluddin b Yaakop yang merupakan generasi ketiga Demang Jaafar.[15]
Perkampungan Orang Asli Gapam
Perkampungan masyarakat orang asli yang terletak di Kampung Gapam ini mampu mempamerkan corak sebenar kehidupan masyarakat orang asli.[16]
Rujukan
- ^ "Pejabat Daerah dan Tanah Jasin, Melaka : Perutusan Pegawai Daerah". Pejabat Daerah dan Tanah Jasin, Melaka : Perutusan Pegawai Daerah.
- ^ a b c "Pejabat Daerah dan Tanah Jasin, Melaka : Peta & Keluasan". Pejabat Daerah dan Tanah Jasin, Melaka : Peta & Keluasan.
- ^ a b c d e "Info Jasin". Majlis Perbandaran Jasin. Dicapai pada 25 Disember 2025.
- ^ a b c "Latar Belakang". Majlis Perbandaran Jasin. Dicapai pada 25 Disember 2025.
- ^ "Latar Belakang". Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya. Dicapai pada 25 Disember 2025.
- ^ a b c d e f g h i "Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Jasin (Penggantian}" (PDF). PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa). Dicapai pada 25 Disember 2025.
- ^ Sejarah Jasin
- ^ a b c d Laura Zepner; Pierre Karrasch; Felix Wiemann; Lars Bernard (2020). "ClimateCharts.net – Bemban". Technical University of Dresden. doi:10.1080/17538947.2020.1829112. Dicapai pada 2021-06-20.
- ^ a b https://www.dosm.gov.my/mycendash/
- ^ "PPD Jasin". Jabatan Pendidikan Melaka. Dicapai pada 25 Disember 2025.
- ^ Dataran Jasin
- ^ "Muzium Pertanian". Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-11-28. Dicapai pada 2014-11-13.
- ^ Makam Datuk Senara
- ^ Makam Tun Teja
- ^ Rumah Tradisional Sg Rambai
- ^ Perkampungan Orang Asli Gapam
Pautan luar
- Laman sesawang rasmi Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Jasin
- Laman sesawang rasmi Majlis Perbandaran Jasin
- Laman sesawang rasmi Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya
| Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Jasin, Melaka |










