
| |||||||||
Jampi-Jampi Kemunculan Mengikut Hari dalam hieroglif Mesir | |||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Era: Kerajaan Baru (1550–1069 SM) | |||||||||
Kitab Orang Mati ialah nama yang diberikan kepada teks pengebumian Mesir purba yang umumnya ditulis pada papirus dan digunakan dari awal Kerajaan Baru (sekitar 1550 SM) hingga sekitar 50 SM.[1] "Kitab" ialah istilah yang paling hampir untuk menggambarkan koleksi teks longgar ini[2] yang terdiri daripada beberapa jampi sihir yang bertujuan untuk membantu perjalanan orang mati melalui Duat, atau alam bawah tanah, ke alam akhirat dan ditulis oleh ramai pendeta selama kira-kira 1,000 tahun. Pada tahun 1842, ahli Mesirologi Karl Richard Lepsius memperkenalkan nama Jerman Todtenbuch (ejaan moden Totenbuch) untuk teks ini, diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai "Book of the Dead" dan ke Melayu "Kitab Orang Mati". Nama asal Mesir untuk teks ini, ditransliterasikan sebagai rw nw prt m hrw,[3] diterjemahkan sebagai Jampi-Jampi Kemunculan Mengikut Hari.[4]
Kitab Orang Mati, yang diletakkan dalam keranda atau ruang pengebumian si mati, adalah sebahagian daripada tradisi teks-teks pengebumian yang merangkumi Teks-Teks Piramid dan Teks-Teks Keranda yang lebih awal, yang dilukis pada objek, bukan ditulis pada papirus. Beberapa jampi yang termasuk dalam buku ini diambil daripada karya-karya lama ini dan berasal dari alaf ke-3 SM. Jampi lain disusun kemudian dalam sejarah Mesir, berasal dari Zaman Perantaraan Ketiga Mesir (abad ke-11 hingga ke-7 SM). Beberapa jampi yang membentuk Kitab Orang Mati juga ditulis secara berasingan pada dinding makam dan sarkofagus, tempat asal jampi-jampi ini berada.
Tiada satu-satunya Kitab Orang Mati yang standard. Papirus yang masih terpelihara mengandungi pelbagai pilihan teks agama dan sihir dan sangat berbeza ilustrasinya. Sesetengah orang nampaknya telah menempah salinan Kitab Orang Mati mereka sendiri, mungkin memilih jampi yang mereka anggap paling penting dalam perjalanan mereka ke alam akhirat. Kitab Orang Mati paling biasa ditulis dalam skrip hieroglif atau hieratik pada gulungan papirus, dan sering diilustrasikan dengan vignet yang menggambarkan si mati dan perjalanan mereka ke alam akhirat.
Contoh terbaik yang masih ada dari zaman purba Mesir ialah Papirus Ani. Ani seorang jurutulis Mesir. Ia ditemui di Luxor pada tahun 1888 oleh pedagang barang antik haram Mesir. Ia diperoleh oleh E. A. Wallis Budge, seperti yang diterangkan dalam autobiografinya By Nile and Tigris pada tahun 1888 dan dibawa ke Muzium British, di mana ia masih berada.
Rujukan
Bibliografi
- Allen, James P., Middle Egyptian – An Introduction to the Language and Culture of Hieroglyphs, first edition, Cambridge University Press, 2000. ISBN 0-521-77483-7
- Taylor, John H. (Editor), Ancient Egyptian Book of the Dead: Journey through the afterlife. British Museum Press, London, 2010. ISBN 978-0-7141-1993-9.
Pautan luar
![]() |
Wikipetik mempunyai koleksi petikan mengenai: Kitab Orang Mati |
![]() |
Wikisumber bahasa Melayu mempunyai teks asal berkaitan rencana ini: |
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Kitab Orang Mati |
- The Mummy Chamber. Pameran Muzium Brooklyn
- Das altägyptische Totenbuch - ein digitales Textzeugenarchiv Arkib digital lengkap semua saksi untuk Kitab Orang Mati (dengan penerangan mengenai (s. 3000) objek dan (s. 20,000) imej)
- Teks Inggeris Boleh Dibaca Dalam Talian, dengan beberapa imej dan penghasilan semula papirus Mesir
- Papirus Hunefer, dengan banyak adegan dan formula terjemahan bahasa Inggeris mereka, daripada salinan yang kini berada di Muzium British
- Video: Kurator Muzium British memperkenalkan Kitab Orang Mati