Kuil Edfu | ||||
![]() Pintu masuk utama Kuil Edfu menunjukkan tonggak pedaka pertama | ||||
Maklumat monumen | ||||
---|---|---|---|---|
Jenis | Kuil | |||
Lokasi | Mesir | |||
Nomos | Wetjes-Hor | |||
Nama hieroglif |
(Bḥd.t) | |||
Dewa | Horus (utama), Hathor, Harsomtus | |||
Maklumat sejarah | ||||
Tempoh | Tempoh Yunani-Rom | |||
Dinasti | Dinasti Ptolemaik | |||
Tarikh mula pembinaan | 23 Ogos 237 SM | |||
Tarikh siap | 57 SM | |||
Penerangan seni bina | ||||
Bahan binaan | Batu pasir | |||
Tinggi | 36 meter | |||
Lebar | 76 meter | |||
Panjang | 79 meter |
Kuil Edfu ialah sebuah kuil Mesir yang terletak di sebelah barat Sungai Nil di Edfu, Mesir Hulu. Bandar ini dikenali pada zaman Helenistik dalam bahasa Yunani Koine sebagai Ἀπόλλωνος πόλις dan dalam bahasa Latin sebagai Apollonopolis Magna, sempena dewa utamanya Horus, yang disamakan dengan Apollo melalui interpretatio graeca.[1] Ia salah satu kuil yang paling terpelihara di Mesir. Kuil ini dibina dalam Kerajaan Ptolemaik antara tahun 237 dan 57 SM. Tulisan di dindingnya memberikan maklumat penting tentang bahasa, mitos dan agama semasa zaman Helenistik di Mesir. Khususnya, teks pembinaan yang tertera di Kuil "memberikan butiran [kedua-dua] pembinaannya, dan juga menyimpan maklumat tentang tafsiran mitologis kuil ini dan semua kuil lain sebagai Pulau Penciptaan."[2] Terdapat juga "adegan dan tulisan penting tentang Drama Suci yang berkaitan dengan konflik lama antara Horus dan Seth."[2] Kedua-duanya diterjemahkan oleh Projek Edfu.
Sejarah
Edfu merupakan antara beberapa kuil yang dibina semasa Kerajaan Ptolemaik, termasuk Kompleks Kuil Dendera, Esna, Kuil Kom Ombo, dan Philae. Saiznya mencerminkan kemakmuran zaman itu.[3] Kuil sekarang, yang dimulakan "pada 23 Ogos 237 SM, pada asalnya mempunyai sebuah dewan bertiang, dua dewan melintang, dan ruang suci tongkang yang dikelilingi oleh bandarsah."[4] Pembinaan dimulakan semasa pemerintahan Ptolemy III Euergetes dan siap pada tahun 57 SM di bawah Ptolemy XII Auletes. Ia dibina di tapak kuil lama yang lebih kecil dan juga didedikasikan untuk Horus, namun struktur sebelumnya diorientasikan ke timur-barat dan bukan utara-selatan seperti sekarang. Sebuah tonggak pedaka yang runtuh terletak di timur kuil semasa; bukti bertulis telah ditemui yang menunjukkan program pembinaan di bawah pemerintah Kerajaan Baru Ramesses I, Seti I dan Ramesses II.
Sebuah naos milik Nectanebo II, peninggalan bangunan sebelumnya, dipelihara di ruang suci dalaman, yang berdiri sendiri manakala ruang suci tongkang kuil ini dikelilingi oleh sembilan buah bandarsah, yakni bilik sembahan.[5]
Kuil Edfu tidak lagi digunakan sebagai monumen keagamaan selepas Theodosius I menganiaya orang pagan dan mengeluarkan dekri yang melarang penyembahan bukan Kristian dalam Empayar Rom pada tahun 391. Seperti di tempat-tempat lain, banyak ukiran kuil ini telah dihancurkan oleh penganut agama Kristian yang kemudian menguasai Mesir. Siling hitam dewan hipostil, yang dapat dilihat hari ini, dipercayai ialah hasil pembakaran untuk memusnahkan imej-imej keagamaan yang pada masa itu dianggap pagan.
Selama berabad-abad, kuil ini terkubur sedalam 12 meter (39 kaki) di bawah pasir gurun dan lapisan lumpur sungai yang ditinggalkan oleh Sungai Nil. Penduduk tempatan membina rumah terus di atas tanah bekas kuil. Hanya bahagian atas tonggak pedaka kuil yang kelihatan pada 1798, apabila kuil itu dikenal pasti oleh ekspedisi Perancis. Pada 1860 Auguste Mariette, seorang ahli Mesir purba Perancis, memulakan kerja membebaskan kuil Edfu dari pasir.
Kuil Edfu hampir utuh sepenuhnya dan merupakan contoh kuil Mesir purba yang baik.[2] Kepentingan arkeologis dan tahap pemeliharaannya yang tinggi telah menjadikannya sebuah pusat pelancongan di Mesir dan perhentian kerap bagi banyak kapal sungai yang belayar di Sungai Nil. Pada 2005, akses ke kuil ini diperbaharui dengan penambahan pusat pelawat dan tempat letak kereta berturap.[6] Sistem lampuan ditambah pada akhir tahun 2006 untuk membenarkan lawatan waktu malam.[7]
-
Bahagian utara halaman Kuil Edfu
-
Pintu tonggak pedaka
-
Di dalam ruang suci di tengah kuil.
-
Halaman hadapan kuil, menghadap tenggara
Kepentingan agama
Kuil Edfu merupakan kuil terbesar yang didedikasikan untuk Horus dan Hathor dari Dendera.[2] Ia pusat beberapa perayaan suci untuk Horus. Setiap tahun, "Hathor mengembara ke selatan dari kuilnya di Dendera untuk melawat Horus di Edfu, dan acara ini yang menandakan perkahwinan suci mereka ialah majlis perayaan dan ziarah yang besar."[2]
Mitos penciptaan kuil
Mitos penciptaan kuil Edfu datang daripada beberapa gambaran dinding berkaitan, yang kebanyakannya ditemui di bahagian dalam dinding perimeter kuil.
Adegan-adegan tersebut menceritakan kisah dunia bermula, ketika dunia masih diliputi air. Semasa pergelutan antara darat dan air purbakala, darat berjaya mendekati permukaan. Di sini, mensiang tumbuh dengan bantuan seekor falkon, yang dikuatkan oleh dewa Yang Jauh dan Yang Besar. Mensiang itu sel germa untuk kuil Edfu, dan di sinilah Horus mendarat, sebagai falkon. Satu kuasa mendatang dalam bentuk burung dan memberi makan Horus, tuhan Edfu; upacara inilah permulaan kultus Edfu.
Apep yang berupa seekor ular cuba menghalang penciptaan. Horus menggigil ketakutan namun sebatang lembing, salah satu bentuk Ptah, datang menyelamat. Musuh itu dikalahkan dan penciptaan diteruskan. Seekor falkon membentukkan kubah langit, sayapnya menjangkau dari ufuk ke ufuk dan matahari memulakan kitaran hariannya. Kemudian, kuil pertama Edfu direka oleh dewa Thoth dan Seshat, seorang dewa kebijaksanaan, satu lagi untuk tulisan. Tukang bina dewa itu membina kuil mengikut pelan-pelan ini, namun asalnya bukan dengan batu tetapi dengan buluh.[8][9]
Pengasasan kuil ini mempunyai beberapa perkara: Pertama, pelan tanah diletakkan dengan upacara meregangkan tali. Apabila pembinaan selesai, raja menyerahkan kuil ini kepada satu triad dewa. Untuk melindungi bangunan ini daripada ancaman luar, 60 dewa menjadi sebuah benteng hidup di sekeliling kuilnya.[10]
Pengaruh terhadap seni bina British
Kuil Edfu menjadi model untuk Temple Works di Holbeck, Leeds. Tiang-tiang halaman Edfu dimiripi di bahagian depan Works.
Galeri
-
Ukiran di dinding Kuil Edfu
-
Fotograf 1854 oleh John Beasley Greene
-
Fotografi 1854 oleh John Beasley Greene
-
Belakang
-
Horus
-
Adegan penyusuan di dinding dalaman
-
Nilometer untuk mengukur ketinggian Sungai Nil
-
Ukiran
-
Ukiran
-
Ukiran
-
Perincian
-
Siling
-
Koridor
-
Patung Horus di halaman kuil
Lihat juga
- Senarai tapak Mesir purba, termasuk tapak kuil
- Seni bina Mesir purba
- Piramid Edfu Selatan
Nota
- ^ David, Rosalie. Discovering Ancient Egypt, Facts on File, 1993. p. 99
- ^ a b c d e David., op. cit., p. 99
- ^ Agnese, Giorgio dan Maurizio Re. Ancient Egypt: Art and archaeology of the land of the pharaohs, 2004. p. 23 ISBN 0-7607-8380-2
- ^ Dieter Arnold, Nigel Strudwick & Sabine Gardiner, The Encyclopaedia of Ancient Egyptian Architecture, I.B. Tauris Publishers, 2003. p. 78
- ^ Arnold, Strudwick & Gardiner, op. cit., p. 78
- ^ "Wawancara SPOTLIGHT 2005 – Dr. Zahi Hawass". Dicapai pada 2007-04-25.
- ^ "Lawatan malam ke Kuil Horus dibenarkan bermula Tahun Baru". Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-01-24. Dicapai pada 2007-04-26.
- ^ Kurth, Dieter (1991). "Über den Ursprung des Tempels von Edfu" [Mengenai Asal Usul Kuil Edfu]. Religion und Philosophie im alten Ägypten [Agama dan Falsafah dalam Mesir purba] (dalam bahasa Jerman). m/s. 189–202.
- ^ Dieter, Kurth (2006). "Edfu" (dalam bahasa Jerman). m/s. 5.
- ^ Budde, Dagmar (2008). "Dreißig Götter der Genese des Tempels" [Tiga Puluh Dewa Penciptaan Kuil] (PDF). Diener des Horus [Hamba Horus] (dalam bahasa Jerman). m/s. 17–40.
Rujukan
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Kuil Edfu |
- Oakes, Lorna dan Lucia Gahlin. Ancient Egypt: An illustrated reference to the myths, religions, pyramids and temples of the land of the pharaohs. 2006. ISBN 0-7607-4943-4
- Kurth, Dieter. The Temple of Edfu. 2004. American University in Cairo Press. ISBN 977 424 764 7
- Émile Gaston Chassinat, Maxence de Rochemonteix, Le temple d'Edfou, 14 jilid. (1892–1934).
- Laman yang menggunakan sambungan WikiHiero
- Bangunan dan struktur keagamaan abad ke-3 SM
- Penemuan arkeologi 1798
- Bangunan dan struktur keagamaan bekas di Mesir
- Seni bina Helenistik
- Kuil Mesir
- Bangunan dan struktur keagamaan yang musnah akibat kebakaran
- Tarikan pelancong di Mesir
- Horus
- Penubuhan abad ke-3 SM di Mesir