Baba Nyonya 峇峇娘惹 بابا ڽوڽا | |
---|---|
![]() Gambar klasik sekumpulan rupawan Nyonya meragakan Kebaya Sarong. | |
Kawasan ramai penduduk | |
Malaysia dan Singapura | |
Bahasa | |
Bahasa Baba dan Bahasa Melayu , Bahasa Melayu Malaysia , Hokkien Pulau Pinang dan Bahasa Cina | |
Agama | |
Buddha Mahayana, Kristian, Konfusianisme, Taoisme, Islam | |
Kumpulan etnik berkaitan | |
Cina Malaysia , India Malaysia dan Cina Singapura |
Baba Nyonya (juga dikenali sebagai Peranakan Cina, Cina Selat atau Straits Chinese) ialah komuniti etnik keturunan Cina yang unik di Semenanjung Tanah Melayu, khususnya di Malaysia, Singapura, dan Indonesia. Mereka merupakan hasil perkahwinan antara lelaki Cina yang datang dan menetap di Nusantara pada zaman Kesultanan Melaka dengan wanita tempatan seperti Melayu, Jawa, atau Siam sejak abad ke-15.[1]
Lelaki Peranakan dikenali sebagai Baba, manakala wanita dikenali sebagai Nyonya. Istilah "Baba" berasal daripada kata Hindi atau Parsi bermaksud "ayah" atau "datuk", manakala "Nyonya" dipercayai berasal daripada kata Portugis lama donha bermaksud "wanita".[2] Budaya Baba Nyonya merupakan gabungan unik antara unsur tradisional Cina dengan kebudayaan Melayu dan kemudiannya pengaruh kolonial Eropah. Gabungan budaya ini telah menghasilkan bahasa, masakan, pakaian, seni bina dan adat resam tersindiri Boba Nyonya.[3]
Sejarah
Kehadiran awal pedagang Cina di Alam Melayu bermula seawal abad ke-10, tetapi pembentukan komuniti Baba Nyonya secara jelas berlaku pada abad ke-15 ketika zaman Kesultanan Melaka.[4] Melaka menjadi pusat perdagangan penting dan menjalin hubungan diplomatik dengan Dinasti Ming selepas kunjungan Laksamana Cheng Ho antara tahun 1405 hingga 1433.[5]
Hubungan diplomatik ini membawa kepada perkahwinan antara lelaki Cina dan wanita tempatan. Sulalatus al-Salatin merekodkan Puteri Hang Li Po telah dihantar oleh Maharaja China untuk mengahwini Sultan Mansur Shah sekitar tahun 1459, Puteri Hang Li Po bersama rombongannya kemudian menetap dan berasimilasi bersama penduduk Melayu Kesultanan Melaka. Asimilasi ini telah melahirkan komuniti baru yang diberi gelaran Peranakan Cina atau Baba Nyonya, menggabungkan budaya Cina dan Melayu pada abad ke-15.
Pada abad ke-19, di bawah pemerintahan British Malaya, komuniti ini mula berkembang ke Pulau Pinang dan Singapura. Mereka diberi gelaran sebagai "King’s Chinese" kerana kesetiaan mereka kepada pemerintah, termasuk kepada British yang telah menguasai Tanah Melayu pada ketika itu.[6] Selepas kemerdekaan, pengaruh liberalisme dan sekularisme Barat pada zaman moden telah menyebabkan identiti dan budaya Baba Nyonya semakin hilang.
Budaya
Kebanyakan imigran Cina yang terawal sekali berhijrah ke Tanah Melayu adalah daripada kelompok Hokkien. Oleh itu, kebanyakan orang Baba juga adalah Hokkien dan mereka yang berasal daripada keturunan Hokkien masih menganggap diri mereka sebagai orang Hokkien meskipun kebanyakannya tidak pandai bertutur dalam loghat Hokkien. Ada juga orang Baba yang berasal daripada keturunan Kantonis, Hakka, dan lain-lain.
Budaya Baba berasal dari Melaka tetapi apabila Pulau Pinang dan Singapura berkembang dan dimajukan, banyak juga di antara mereka yang berpindah ke kedua-dua negeri ini, terutamanya Singapura. Kaum Baba yang wujud pada hari ini bertutur dalam bahasa Baba iaitu sejenis dialek Melayu yang dapat difahami oleh kebanyakan orang Melayu. Cara masakan mereka kebanyakannya diresapi oleh cara masakan Melayu dan adalah menjadi satu kebiasaan bagi mereka makan dengan menggunakan tangan sebagaimana juga orang-orang Melayu. Generasi Nyonya (Baba perempuan) yang terdahulu masih memakai pakaian kebaya dan kain sarong sebagaimana yang dipakai oleh orang-orang Melayu.
Oleh itu, adalah menarik bahawa kehidupan orang Baba dan pandangan mereka masih bersifat kecinaan, walaupun mereka telah lama terpisah daripada komuniti mereka di China. Ini digambarkan melalui aspek-aspek kebudayaan yang lain seperti sistem kekeluargaan dan agama yang mereka masih kekal, kecuali tocang yang dianggap sebagai lambang pengabdian kepada kerajaan Manchu, serta tradisi mengikat kaki kaum wanita yang dianggap sebagai adat yang tidak bertamadun. Malahan masyarakat Baba masih mengamalkan sebahagian resam budaya Cina yang sudah tidak dihiraukan lagi oleh masyarakat Cina Malaysia yang lain, seperti adat istiadat perkahwinan Cina tradisional yang memperlihat kedua-dua pengantin memakai pakaian-pakaian yang indah dan berwarna warni warisan budaya Cina tradisional. Rumah Baba juga dibina berdasarkan pelan-pelan tradisional Cina berbanding dengan Melayu.
Pakaian
Pakaian Nyonya serupa dengan pakaian tradisi Melayu, iaitu terdiri daripada baju kebaya (baju panjang dan batik sarung) dan kerongsang.
Kasut manek ialah alas kaki buatan tangan yang memerlukan kemahiran dan kesabaran tinggi untuk menghasilkannya dari jalinan manik kaca bersegi-segi halus yang dijahit pada kain terpal. Pada mulanya, manik-manik yang diperlukan untuk menghiasi kasut manek berasal dari Eropah, tetapi lama-kelamaan banyak diperoleh dari Jepun.
Rekaan kasut manek tradisional sering memperlihatkan motif bunga Eropah dan warnanya dipengaruhi oleh tembikar Peranakan dan sarung batik. Mulai 1930-an, kasut manek menjalani perubahan dengan diberi rekaan moden dan ditambah tumit.
Suku Peranakan di Indonesia ada baju kebaya tersendiri, terutamanya 'kebaya encim', serta mengemmbangkan corak batik tersebdiri yang bermotifkan Cina.
Agama
Baba dan Nyonya mengamalkan agama-agama tradisional Cina, menyambut Tahun Baru Cina dan Perayaan Tanglung, sambil mengamalkan adat resam Melayu dan penjajah barat. Pengaruh Portugis, Belanda, British, Melayu dan Indonesia meninggalkan kesan dalam budaya Peranakan.[7]
Masakan
Kesan dari pengaruh Melayu, lahirnya masakan "Nyonya" yang menggunakan rempah masakan Melayu. Contohnya ayam kapitan, sejenis kari ayam kering; inci kabin, iaitu ayam goreng cara Nyonya; dan pindang bandeng, kuah ikan yang dihidangkan ketika meraikan tahun baru Cina di Singapura.
Perkahwinan
Saudagar Cina di Melaka zaman silam gemar menmperisterikan atau mempergundikkan wanita Melayu dari Semenanjung Tanah Melayu atau Sumatera.[8] Hasilnya, suku Baba dan Nyonya memperlihatkan campuran budaya Cina dan Melayu yang bersinergi.[9][10]
Catatan dari abad ke-19 dan awal abad ke-20 menyatakan bahawa lelaki Baba lazimnya mengahwini wanita dalam masyarakat Peranakan setempat. Ada kalanya, keluarga Peranakan membawa masuk pengantin dari China atau menghantar anak perempuan ke China untuk mencari suami.
Orang Peranakan biasanya berkahwin dengan pasangan setempat yang sama darjatnya. Lelaki kaya paling menggemari chin choay atau perkahwinan matrilokal iaitu si suami menyertai keluarga isteri.[11]
Lamaran memerlukan buah tangan pinangan, iaitu bakul berkilau dua tingkat, yang dibawa oleh pengantara yang mewakili pelamar kepada ibu bapa pengantin idaman. Kebanyakan suku Peranakan tidak beragama Islam, sebaliknya memelihara adat penyembahan nenek moyang dari kaum Cina, tetapi ada yang memeluk agama Kristian.
Majlis perkahwinan Peranakan yang banyak mengetengahkan tradisi Cina merupakan antara perkahwinan tradisi yang paling berwarna-warni di Malaysia dan Singapura. Majlis diserikan dengan lagu berima spontan dondang sayang yang dinyanyi dalam bahasa Melayu dan ditari oleh para hadirin di jamuan. Pendondang bergilir-gilir menyambungkan lagu bertema asmara sambil menari berpusing-pusing dengan perlahannya. Dondang sayang memerlukan kemahiran berjenaka dan bertikam balas, siapa yang bijak berdondang maka dialah yang meraih gelak ketawa dan tepukan tangan ramai-ramai. Pelat loghat dan cara berbahasa Baba dan Nyonya serta kepandaian menyerikan lagi persembahan.
Muzium
Bahan-bahan bersejarah dari kebudayaan Baba dan Nyonya dipamerkan di pusat-pusat kebudayaan seperti Jonker Street (Melaka), Pulau Pinang dan Muzium Peranakan (Singapura). Di tempat-tempat sedemikian, anda boleh mencari muzium yang mempamerkan perabot, makanan, dan pakaian tradisi Baba and Nyonya. Juga terdapat kedai-kedai makan "Nyonya" di Singapura, Pulau Pinang, Melaka, Jakarta, Semarang, Surabaya, dan juga di Barat. Pertunjukan seni Peranakan mingguan juga diadakan di pasar malam Jonker Street.
Hubungan politik
Pada zaman pendudukan kuasa Barat, kaum Baba Nyonya lebih berada berbanding imigran China yang baru. Kekayaan dan jalinan erat keluarga membolehkan suku Peranakan membentuk sebuah golongan atasan berbangsa Cina yang amat setia kepada kuasa British atau Belanda,[12] sehingga sukar menerima kemerdekaan Malaysia dan Indonesia.[13]
Menjelang pertengahan abad ke-20, kebanyakan suku Peranakan menerima pendidikan Inggeris atau Belanda, kesan penjajahan kepulauan Melayu oleh kuasa-kuasa Barat. Suku Peranakan sanggup memeluk kebudayaan dan pendidikan Inggeris sebagai cara memajukan diri mereka dari segi ekonomi. Oleh itu, jawatan-jawatan pentadbiran dan perkhidmatan awam selalu diisi oleh orang Cina Peranakan terkemuka. Ramai orang Baba dan Nyonya memeluk agama Kristian kerana menganggap agama itu lebih berprestij dan amat rapat dengan kebudayaan sekutu mereka yang berbangsa British dan Belanda. [14] Justeru, masyarakat Peranakan menjadi amat berpengaruh di Melaka dan Singapura, sehingga diberi gelaran King's Chinese kerana kesetiaan mereka kepada pihak British. Hasil dari perhubungan mereka dengan pelbagai budaya dan bahasa, kebanyakan orang Peranakan fasih berbahasa Cina, Melayu dan Inggeris. Antara kerjaya-kerjaya yang banyak diceburi mereka termasuk saudagar, pedagang, dan orang tengah yang menguruskan perhubungan antara China, Tanah Melayu dan kuasa-kuasa Barat yang amat dihargai oleh British dan Belanda.
Separuh awal abad ke-20 menyaksikan perubahan penting dalam sejarah yang mana sebilangan kaum Peranakan makin cenderung untuk menyokong kemerdekaan Malaysia dan Indonesia. Di Indonesia, tiga komuniti Cina bergabung dan bergiat dalam politik.
Orang Cina Peranakan juga menyertai peloporan akhbar Indonesia. Mereka menerbitkan impian politik mereka di samping sumbangan dari penulis tempatan yang lain dalam syarikat penerbitan mereka. Pada bulan November 1928, akhbar mingguan berbahasa Cina iaitu Sin Po ([新報] Error: {{Lang}}: unrecognized language tag: zh-t (help)) menjadi akhbar pertama yang menerbitkan lirik lagu kebangsaan Indonesia Raya. Kadang-kala, sesiapa yang terlibat dalam kegiatan sedemikian menghadapi ancaman dipenjara atau dihukum mati kerana pihak berkuasa penjajah Belanda mengharamkan penerbitan dan kegiatan nasionalis.
Kaum Cina di Indonesia berkobar-kobar memberikan sokongan kepada gerakan kemerdekaan ketika pendudukan Jepun pada awal 1940-an, apabila semua persatuan Cina diharamkan oleh pihak Jepun. Antara mereka yang terlibat termasuk Siauw Giok Tjhan dan Liem Koen Hian, dan Yap Tjwan Bing, seorang ahli Panitia Persiapan Kemerdekaan Indonesia, yang menjadi warga Amerika Syarikat pada 1960-an.
Kepentingan dan Cabaran Kontemporari
Komuniti Baba Nyonya berperanan sebagai jambatan budaya antara Cina dan Melayu di Asia Tenggara, namun kini menghadapi cabaran seperti kehilangan bahasa, asimilasi dan urbanisasi.[15] Usaha pemuliharaan melalui muzium, festival, dan pengiktirafan UNESCO bagi warisan Baba Nyonya membantu memastikan kelangsungan budaya ini.[16]
Tokoh-tokoh Baba
Lihat juga
Rujukan
- ^ "Peranakan". Encyclopaedia Britannica. Dicapai pada 6 Oktober 2025.
- ^ "Introducing the Best of Baba Nyonya Culture". DTH Travel. Dicapai pada 6 Oktober 2025.
- ^ "Keeping the Baba Nyonya Culture of Penang Alive". JSTOR Daily. Dicapai pada 6 Oktober 2025.
- ^ "Peranakan". Encyclopaedia Britannica. Dicapai pada 6 Oktober 2025.
- ^ Teo, C. E. (2019). "Peranakan cuisine and cultural identity". Journal of Ethnic Foods. 6 (2): 1–9. doi:10.1186/s42779-019-0010-x.
- ^ "Baba Nyonya and Peranakan in Malaysia". Eksentrika. Dicapai pada 6 Oktober 2025.
- ^ Joo Ee Khoo; The Straits Chinese: a cultural history, Pepin Press,: 1996 ISBN 9054960086: 288 pages
- ^ Joo Ee Khoo; The Straits Chinese: a cultural history, Pepin Press,: 1996 ISBN 9054960086: 288 pages
- ^ Keat Gin Ooi, Southeast Asia: a historical encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor ABC-CLIO: 2004: ISBN 1576077705: 1791 pages
- ^ Joo Ee Khoo; The Straits Chinese: a cultural history, Pepin Press,: 1996 ISBN 9054960086: 288 pages
- ^ Keat Gin Ooi, Southeast Asia: a historical encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor ABC-CLIO: 2004: ISBN 1576077705: 1791 pages
- ^ Joo Ee Khoo; The Straits Chinese: a cultural history, Pepin Press,: 1996 ISBN 9054960086: 288 pages
- ^ Keat Gin Ooi, Southeast Asia: a historical encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor ABC-CLIO: 2004: ISBN 1576077705: 1791 pages
- ^ Keat Gin Ooi, Southeast Asia: a historical encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor ABC-CLIO: 2004: ISBN 1576077705: 1791 pages
- ^ "Keeping the Baba Nyonya Culture of Penang Alive". JSTOR Daily. Dicapai pada 6 Oktober 2025.
- ^ Teo, C. E. (2019). "Peranakan cuisine and cultural identity". Journal of Ethnic Foods. 6 (2): 1–9. doi:10.1186/s42779-019-0010-x.