Sultan Abdullah Ma'ayat Shah | |
---|---|
Sultan Johor | |
Pemerintahan | 1615 – 1623 |
Didahului oleh | Sultan Alauddin Riayat Shah III (sebagai Sultan Johor) |
Diikuti oleh | Sultan Abdul Jalil Shah III (sebagai Sultan Johor-Pahang) |
Keputeraan | Raja Abdullah ibni Sultan Muzaffar Shah II 1571 |
Kemangkatan | 1623 Pulau Tambelan |
Anakanda | Yang Dipertuan Muda Raja Bajau |
Wangsa | Wangsa Melaka-Johor |
Ayahanda | Sultan Muzaffar Shah II |
Agama | Sunni Islam |
Sultan Abdullah Ma'ayat Shah ibni Sultan Muzaffar Shah II (1571 – 1623) ialah Sultan Johor ke-6 yang memerintah dari tahun 1615 hingga tahun 1623. Baginda telah bersemayam di Batu Sawar yang terletak di Kota Tinggi, Johor.
Sebelum baginda menjadi Sultan Johor, baginda dikenali dengan nama "Raja Abdullah", "Raja Bongsu", "Raja di Hilir", "Yang Dipertuan di Hilir", dan "Raja Seberang". Seorang Laksamana Belanda yang bernama Cornelis Matelief de Jonge menggambarkan Kota Seberang sebagai kawasan pegangan (personal fiefdom) baginda dan baginda berkuasa ke atas sebuah petempatan yang terletak di seberang Sungai Johor dari Batu Sawar yang merupakan pusat pemerintahan Johor pada ketika itu.
Baginda merupakan putera Sultan Johor ke-2, Sultan Muzaffar Shah II dan diangkat oleh Sultan Aceh, Sultan Iskandar Muda menjadi Sultan Johor yang baru untuk menggantikan Sultan Johor ke-5, Sultan Alauddin Riayat Shah III yang dihukum bunuh oleh Sultan Iskandar Muda apabila Aceh menewaskan Johor pada tahun 1615.
Peranan semasa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah III
Semasa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah III, Raja Abdullah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pemerintahan Kesultanan Johor. Raja Abdullah mendirikan kota kediamannya di Pengkalan Raya, Batu Sawar. Baginda memainkan peranan penting dalam mewujudkan persahabatan dengan Belanda pada tahun 1602. Baginda juga mempengaruhi Sultan Alauddin Riayat Shah III supaya tidak mematuhi amaran Portugis untuk memutuskan hubungan dengan Belanda. Baginda datang ke kapal Belanda di Melaka dan meminta bantuan daripada Belanda untuk berperang dengan Aceh. Pada tahun 1613, Aceh di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda menyerang dan mengalahkan Johor. Raja Abdullah ditawan bersama-sama Sultan Alauddin Riayat Shah III dan dibawa ke Aceh. Di Aceh, Raja Abdullah telah dikahwinkan dengan adinda Sultan Iskandar Muda. Kemudian, Raja Abdullah dihantar pulang ke Johor dengan diiringi oleh pasukan Aceh. Pada tahun 1615, baginda diangkat menjadi Sultan Johor yang bergelar Sultan Abdullah Ma'ayat Shah.
Sebagai Sultan Johor
Pada tahun 1618, Sultan Abdullah Ma'ayat Shah berpindah ke Daik, Kepulauan Lingga dengan meminta bantuan daripada Belanda dan Orang Laut untuk melawan Aceh. Kemudian, baginda menceraikan isterinya yang juga adinda Sultan Aceh, Sultan Iskandar Muda. Kejadian ini menyebabkan Sultan Iskandar Muda murka kerana adindanya diceraikan oleh Sultan Abdullah Ma'ayat Shah. Sultan Iskandar Muda memerintahkan pasukannya untuk menghancurkan Batu Sawar, pusat pemerintahan Kesultanan Johor Lama pada ketika itu dan menyerang Pulau Lingga untuk memburu Raja Bujang, yang merupakan putera Sultan Alauddin Riayat Shah III, pada tahun 1623. Sultan Abdullah Ma'ayat Shah melarikan diri bersama-sama Raja Bujang ke Pulau Tambelan. Sultan Abdullah Ma'ayat Shah mangkat di Pulau Tambelan[1][2][3] dan baginda kemudian digelar "Marhum Pulau Tambelan".
Rujukan
- R.O. Winstedt (1992). A History of Johore. The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS). ISBN 9839961462.
- Zakiah Hanum (2004). Asal Usul Negeri-Negeri Malaysia. Times Editions-Marshall Cavendish. ISBN 9812326081.
- Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid (2011). The Encyclopedia of Malaysia : Volume 16, The Rulers of Malaysia. Archipelago Press. ISBN 9789813018549.
Nota kaki
- ^ Tun Ahmad Sarji, 2011, ms 69
- ^ "Menilik Kejayaan Tambelan Timbalan Riau". Robby Tambelan. Robby Tambelan. 2010. Dicapai pada 28 Julai 2012.
- ^ "Sejarah Pulau Tambelan". Informasi Serba Ada. Informasi Serba Ada. 2011. Dicapai pada 28 Julai 2012.
Lihat juga
Pautan luar
- http://www.johordt.gov.my/pdkotatinggi/pelancongan.php?scr=pelancongan_sejarahsultan Diarkibkan 2007-09-27 di Wayback Machine
Sultan Abdullah Ma'ayat Shah Tarikh keputeraan: 1571 Tarikh kemangkatan: 1623
| ||
Gelaran pemerintah | ||
---|---|---|
Didahului oleh Sultan Alauddin Riayat Shah III sebagai Sultan Johor |
Sultan Johor 1615 – 1623 |
Diikuti oleh: Sultan Abdul Jalil Shah III sebagai Sultan Johor-Pahang Takhta Sultan Pahang disatukan dengan takhta Sultan Johor pada tahun 1623 apabila diangkat menjadi Sultan Johor dan kembali menjadi Sultan Pahang selepas berdamai dengan Aceh |