| Bukit Bendera | |
|---|---|
| Titik tertinggi | |
| Ketinggian | 833 m (2,733 ka) |
| Tonjolan | 735 meter (2,411 ka) |
| Koordinat | 5°25′28″N 100°16′08.1″E / 5.42444°N 100.268917°E |
| Geografi | |
| Lokasi | Pulau Pinang |
| Negara | Malaysia |
| Negeri | Pulau Pinang |
| Pendakian | |
| Laluan paling mudah | Kereta Api Bukit Bendera |
Bukit Bendera ialah sebuah tempat peranginan tanah tinggi yang terdiri daripada gugusan puncak, terletak berhampiran tengah Pulau Pinang, Malaysia. Ia berada kira-kira 9 km (5.6 bt) di barat pusat bandar George Town. Ia dikenali sebagai Penang Hill dalam bahasa Inggeris sedangkan Flagstaff Hill merujuk kepada bahagian puncaknya yang paling pesat membangun. Salah satu puncak pula dikenali sebagai Strawberry Hill yang juga merupakan nama rumah milik Francis Light, pengasas jajahan Pulau Pinang.
Bukit Bendera terdiri daripada beberapa buah bukit dengan titik tertinggi berada di Bukit Barat, mencapai ketinggian 833 m (2,733 ka) dari paras laut. Bukit ini merupakan kawasan bukit dan hutan yang terlihat asing berbanding kawasan pamah di Malaysia kerana ketinggian serta kehijauan alamnya. Kawasan ini pernah dijadikan tempat percutian semasa zaman penjajahan British dan kini menjadi destinasi pelancongan popular kerana sejarah dan warisannya.
Puncak Flagstaff Hill yang menjadi kawasan pelancongan utama boleh dicapai melalui Kereta Api Bukit Bendera dari stesen awal di Jalan Stesen Bukit Bendera. Sehingga kini, sistem kereta api funikular merupakan satu-satunya seumpamanya di Malaysia dan telah membawa lebih sejuta pelawat ke puncak Bukit Bendera setakat 2014[kemas kini].[1]
Bukit Bendera merupakan sebahagian daripada Rizab Biosfera Bukit Bendera yang diakui oleh UNESCO sebagai Rizab Biosfera ketiga di Malaysia dalam senarai Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR).[2]
Sejarah
Kapten Francis Light, pengasas jajahan di Pulau Pinang mula menandakan laluan kuda dari air terjun di Taman Botani Pulau Pinang ke puncak bukit pada 1788.[3] Beliau membersihkan kawasan tersebut untuk menanam strawberi sehingga kawasan itu dikenali sebagai Strawberry Hill.[4]
Nama Bukit Bendera dalam bahasa Melayu sebenarnya merujuk kepada Flagstaff Hill, yang merupakan nama rasmi bukit ini. Nama ini merujuk kepada tiang bendera di luar rumah "Bel Retiro", kediaman rasmi Gabenor Pulau Pinang yang dibina oleh Francis Light sekitar tahun 1789.[3][5] Namun, kawasan ini lebih dikenali sebagai Penang Hill ("Bukit Pulau Pinang") dalam bahasa Inggeris, merujuk kepada gugusan bukit sedangkan nama-nama seperti Flagstaff Hill dan Strawberry Hill digunakan untuk puncak tertentu.[6]
Bukit ini menjadi tempat percutian dingin penjajah British daripada cuaca panas di kawasan pamah dan ancaman malaria. Banyak banglo dibina di puncak Bukit Bendera untuk penjawat awam dan pegawai tentera. Sebuah banglo pemulihan dibina pada 1803.[7][8]
Antara bangunan terawal di Strawberry Hill ialah sebuah rumah yang dibina oleh David Brown di atas tanah pemberian Francis Light. Namun, sejarawan Australia Marcus Langdon berpendapat rumah itu sebenarnya dibina oleh William Edward Phillips, pemilik Rumah Suffolk, bukan David Brown.[9] Rumah itu terbakar sebelum dibina semula pada abad ke-19 dan digunakan sebagai restoran setakat tahun 2012.[8]
Pejabat pos pertama dibuka pada 1894 dan sebuah hotel iaitu Hotel Crag milik Sarkies Brothers ditubuhkan pada 1895 tetapi telah dijual pada 1920-an. Ia beroperasi hingga ditutup semasa Perang Dunia II. Bangunan ini kemudian digunakan sebagai sekolah berasrama bernama The International School of Penang (Uplands) dari 1955 hingga 1977.[3] Balai polis pertama pula dibina pada 1929 dan bangunannya masih wujud di lokasi yang sama.
Pada awalnya, satu-satunya cara untuk ke puncak adalah dengan berjalan kaki, menunggang kuda atau menaiki tandu (usungan). Percubaan pertama membina kereta api bukit bermula pada 1897 tetapi gagal. Ia dibina antara 1901 dan 1905 namun mengalami masalah teknikal.[4][10]
Kerajaan Selat kemudian melancarkan projek baharu untuk membina kereta api funikular Bukit Bendera dengan kos 1.5 juta dolar Selat. Ia mula dibuka kepada umum pada 21 Oktober 1923 dan dirasmikan pada 1 Januari 1924. Kereta api ini mencetuskan pembangunan pesat banglo dan rumah percutian di kalangan orang Eropah dan tauke Cina tempatan yang kaya-raya.[7] Ia juga menaikkan nama Bukit Bendera sebagai destinasi pelancongan utama di Pulau Pinang, menerima lebih sejuta pelawat setahun menjelang 2012.[11]
Sebuah usaha naik taraf besar-besaran bermula pada 2010. Landasan kereta api diperbaharui, membolehkan capaian yang lebih pantas ke puncak, manakala kemudahan pengunjung, laluan pejalan kaki dan pelantar pandang juga dibina.[12]
Geografi

Topografi
Bukit Bendera pada asasnya merupakan jisim berbukit yang terdiri daripada batuan granit. Sistem perbukitan ini lebih tinggi di bahagian utara dengan titik tertinggi terletak di Bukit Barat pada ketinggian sekitar 833 m (2,733 ka) dari paras laut. Selain Bukit Barat, terdapat beberapa puncak lain di kawasan ini seperti Bukit Laksamana, Bukit Harimau, Flagstaff Hill, Haliburton's Hill, Fern Hill, Strawberry Hill dan Government Hill (atau Bukit Kerajaan).[6][3] Flagstaff Hill terletak pada ketinggian sekitar 735 m (2,411 ka) dari paras laut.
Beberapa batang sungai dan anak sungai kecil berpunca dari kawasan bukit ini. Sungai Pinang merupakan sungai utama yang berpunca daripada pelbagai anak sungai di kawasan tersebut.
Guna tanah
Disebabkan iklim yang lebih sejuk, Bukit Bendera sejak lama menjadi destinasi percutian yang popular. Beberapa buah banglo telah dibina di sekitar Flagstaff Hill. Bahagian utara Bukit Bendera kurang dibangunkan.
Kawasan Bukit Kerajaan, Bukit Timah dan beberapa kawasan lain telah diwartakan sebagai kawasan tadahan air, dan sebarang pembangunan tidak dibenarkan.
Potensi rekreasi juga wujud di bahagian hulu sungai, di mana kualiti air masih bersih. Di beberapa lokasi, perubahan aras tanah secara mendadak menghasilkan siri air terjun kecil dan jeram yang menjadi lokasi popular bermandi-manda, berendam dan berkelah.
Kawasan pamah Bukit Bendera banyak digunakan untuk tujuan pertanian dan kediaman.
Ketik pautan di penjuru kanan atas untuk meluru masuk.
Kebolehcapaian
Cara paling mudah untuk ke Bukit Bendera adalah melalui Kereta Api Bukit Bendera, sebuah kereta api funikular dari Air Itam ke puncak Bukit Bendera. Perjalanan sejauh 2,007 m (6,585 ka) ini dahulunya mengambil masa kira-kira setengah jam dengan hentian di stesen-stesen pengantara atas permintaan. Namun, sistem yang telah dinaik taraf kini membolehkan perjalanan tanpa henti ke puncak dalam masa lima hingga sepuluh minit.
Sebagai usaha untuk mengurangkan kesesakan dan kebergantungan terhadap kereta api, sistem kereta kabel menghubungkan puncak bukit dengan Taman Botani Pulau Pinang sedang dalam pembinaan setakat 2024[kemas kini]. Projek ini dijangka siap pada 2026.[13]
Sebagai alternatif, terdapat laluan bertar sepanjang 5.1 km (3.2 bt) yang dikenali sebagai laluan jip. Laluan ini hanya dibuka kepada kenderaan milik penduduk Bukit Bendera. Ia juga digunakan oleh penunggang motosikal lasak dan para pendaki. Laluan ini bermula dari kuari di pintu masuk Taman Botani Pulau Pinang dan mengambil masa dua hingga tiga jam berjalan santai ke puncak. Antara hentian terkenal di sepanjang laluan ini ialah hentian 52 dan 84, di mana pengunjung boleh menikmati pemandangan pulau serta mendapatkan air dan teh yang disediakan oleh penduduk setempat. Hentian 84 ialah hentian terakhir sebelum tiba di puncak, terletak kira-kira 45 minit lagi dari situ.

Jalan Sultan Yahya Petra, atau lebih dikenali sebagai Summit Road, menghubungkan stesen puncak dengan bahagian barat Bukit Bendera menuju ke Bukit Barat dan Bukit Harimau.
Lereng timur Bukit Bendera pula mempunyai rangkaian jalan dan laluan seperti Jalan Moniot, Jalan Viaduct dan Jalan Terowong. Jalan Moniot dinamakan sempena seorang Perancis, Michael Jules Moniot, yang menjalankan kerja ukur antara tahun 1846 hingga 1855. Jalan ini telah diwartakan sebagai Jejak Warisan pada 1995 oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
Terdapat juga rangkaian laluan berkuda yang menghubungkan pelbagai banglo. Laluan ini dibina oleh banduan paksa India yang dibawa dari Bengkulu di Sumatera ke Pulau Pinang pada separuh kedua abad ke-19.
Terdapat juga pelbagai laluan mendaki bermula dari kaki bukit seperti dari Moongate, Empangan Air Itam, Estet Hye Keat dan Taman Bandaraya (dahulunya Taman Belia). Sesetengah laluan ini turut digunakan oleh petani untuk membawa hasil tani ke pasar di Balik Pulau dan Air Itam.
Iklim

Ciri utama Bukit Bendera ialah iklimnya yang lebih sejuk. Kawasan puncak utama mempunyai suhu purata antara 20°C hingga 27°C. Suhu minimum purata secara konsisten di bawah 21°C. Bulan paling panas adalah antara Disember dan April, manakala bulan paling sejuk antara Jun hingga Oktober. Secara umumnya, suhu di sini adalah 5°C lebih sejuk berbanding pusat bandar.[14]
Demografi
Setakat 2020[kemas kini], Bukit Bendera mempunyai jumlah penduduk seramai 332 orang.[15] Kaum bukan warganegara membentuk lebih 77% daripada penduduk, diikuti oleh kaum Cina hampir 13%, dan kaum India sebanyak 6%.
Tumbuhan dan haiwan
Flora
Jenis hutan yang paling lazim terdapat di Bukit Bendera ialah hutan dipterokarpa bukit.[16] Di altitud yang lebih tinggi, terdapat juga beberapa spesies oak-laurel subgunung serta pokok konifer. Paku gajah yang biasanya dikaitkan dengan kawasan beraltitud tinggi turut terdapat di sini.
Bukit Bendera penting dari sudut saintifik sebagai lokasi jenis bagi banyak spesies tumbuhan di Malaysia. Dahulu, ahli botani datang ke sini mengumpul tumbuh-tumbuhan untuk tujuan herbarium di seluruh dunia. Kawasan ini kaya dengan biodiversiti dan mempunyai banyak spesies endemik, sesetengahnya sangat langka dan terancam pupus.
Spesies yang langka dan terancam termasuk tumbuhan parasit Exorhopalia ruficeps yang tumbuh di kawasan semak yang lembap dan teduh. Anggerik selipar Pulau Pinang (Paphiopedilum barbatum) kini semakin pupus akibat pengumpulan berlebihan. Spesies Maingaya malayana, sejenis hazel sihir yang terancam ditemui semula beberapa tahun lalu dan kini sedang dibiakkan.
Fauna
Mamalia besar tidak ditemui di Bukit Bendera. Babi hutan, mamalia kecil dan sederhana seperti tupai, tupai akar dan monyet boleh dilihat. Beberapa spesies yang terdapat di kawasan ini adalah haiwan nokturnal termasuk musang, kubung, tupai terbang dan kelawar.
Pada waktu petang, bunyi khas dari cengkerik sering kedengaran. Ketika diteliti, belalang ranting dan mentadak daun yang pandai menyamar boleh dilihat bersembunyi di celah tumbuh-tumbuhan.
Bukit Bendera kaya dengan kepelbagaian spesies burung. Lebih 100 spesies burung atau kira-kira 80% daripada jumlah burung di Pulau Pinang telah direkodkan di sini. Spesies ini terdiri daripada burung taman yang biasa hinggalah penghuni hutan yang jarang ditemui.
Rujukan
- ^ Matthew Tan Kiak Hin (Disember 2015). "To the summit, anyone?". Penang Monthly.
- ^ "Penang Hill Biosphere Reserve, Pulau Pinang – UNESCO". Dicapai pada 3 Januari 2022.
- ^ a b c d Jin Seng Cheah (26 February 2013). Penang 500 Early Postcards. Editions Didier Millet. ISBN 978-9671061718.
- ^ a b Joe Bindloss, Celeste Brash (2008). Kuala Lumpur, Melaka & Penang. Lonely Planet Publications. m/s. 202. ISBN 978-1741044850.
- ^ "Penang Hill".
- ^ a b "Welcome to Penang Hill". Diarkibkan daripada yang asal pada 19 February 2017.
- ^ a b Julia De Bierre (2006). Penang: Through Gilded Doors. Areca Books. m/s. 130. ISBN 978-9834283421.
- ^ a b Frances Wilks (December 21, 2012). "Penang's Hill Station". Expat Go.
- ^ "The light of his life Francis Light's contributions are fondly remembered but not those of his wife". Star Online. Article quotes Clodd (1948) and historians Ooi Kee Beng and Marcus Langdon. 6 April 2013. Dicapai pada 27 October 2019.CS1 maint: others (link)
- ^ "About us: Corporate Info". Diarkibkan daripada yang asal pada 22 April 2015.
- ^ "Bukit Bendera visitors doubled last year". Astro Awani. January 8, 2013.
- ^ Matthew Tan Kiak Hin. "One heck of a hill". Penang Monthly.
- ^ "PM Anwar tekankan pertimbangan budaya dan alam sekitar bagi projek kereta kabel Bukit Bendera". Malay Mail. 29 Jun 2024. Dicapai pada 2 Julai 2024.
- ^ "Bukit Bendera". Penang Attractions.
- ^ a b "MyCensus 2020: Mukim/Bandar/Pekan". Jabatan Perangkaan Malaysia. Putrajaya: 174–175. Februari 2024. ISBN 9789672537069.
- ^ Simon Gardner, Pindar Sidisunthorn dan Lai Ee May, 2011. Heritage Trees of Penang. Pulau Pinang: Areca Books. ISBN 978-967-57190-6-6









