

Sebahagian daripada siri |
Agama Mesir Purba |
---|
![]() |
Portal Mesir Purba |
Mata Ra, biasanya digambarkan sebagai cakera matahari atau mata wadjet kanan (berpasangan dengan Mata Horus, mata wadjet kiri), merupakan entiti dalam mitologi Mesir purba yang berfungsi sebagai lanjutan kuasa dewa matahari Ra, disamakan dengan cakera matahari, tetapi ia sering bertindak sebagai dewi yang tersendiri, pasangan feminin kepada Ra dan kuasa ganas yang menundukkan musuhnya. Dewi ini, juga dikenali dengan teonim Wadjet, boleh disamakan dengan beberapa dewa tertentu antaranya Hathor, Sekhmet, Bastet, Raet-Tawy, Menhit, Tefnut, dan Mut. Dewi mata ini bertindak sebagai ibu, saudara, pasangan, dan anak perempuan dewa matahari. Dia adalah pasangannya dalam kitaran penciptaan yang mana dia melahirkan bentuk baru si dewa pada subuh. Aspek ganas mata ini mempertahankan Ra daripada mana-mana pembuat kacau yang mengancam pemerintahannya. Aspek berbahaya dewi mata ini sering diwakili oleh singa betina atau ureus, yakni ular tedung, simbol perlindungan dan kuasa diraja. Kemarahan dan kerusuhan dewi mata ini serta usaha para dewa untuk menenangkannya merupakan motif utama dalam mitologi Mesir.
Mata Ra terlibat dalam banyak aspek agama Mesir purba, termasuk dalam kultus banyak dewi yang disamakan dengannya. Kuasa penghidupannya diraikan dalam ritual kuil, manakala aspek berbahayanya digunakan untuk melindungi firaun, tempat suci, dan orang biasa serta kediaman mereka.
Asal-usul
Orang Mesir sering merujuk matahari dan bulan sebagai "mata" dewa-dewa tertentu. Mata kanan Ra-Horus (bergabung menjadi dewa Ra-Horakhty), contohnya, disamakan dengan matahari, dan mata kirinya disamakan dengan bulan. Kadangkala orang Mesir memanggil mata bulan sebagai "Mata Horus" dan mata suria sebagai "Mata Ra"—Ra merupakan dewa matahari utama dalam agama Mesir purba.[1] Kedua-dua mata diwakili oleh simbol wadjet, lukisan mata manusia dengan corak muka helang yang melambangkan Horus.[2] Ahli Mesir kuno Richard H. Wilkinson percaya kedua-dua Mata Horus secara beransur-ansur dibezakan sebagai Mata Horus bulan dan Mata Ra suria;[3] namun, Rolf Krauss berhujah tiada teks yang menyamakan Mata Horus dengan matahari dan bulan sehingga zaman akhir sejarah Mesir, jadi Mata Horus pada asalnya pasti mempunyai makna lain.[4]
Oleh sebab banyak konsep dalam kepercayaan Mesir adalah fleksibel dan boleh berubah, peranan kedua-dua mata ini sering bertindih.[1] Salah satu pertindihan adalah dalam mitos, kedua-dua Horus dan Ra kehilangan mata masing-masing. Katja Goebs berhujah bahawa mitos sekitar kedua-dua mata berdasarkan mitema, yakni elemen teras mitos, yang sama dan "daripada mengandaikan satu mitos asal dalam satu badan kosmik yang kemudian bergabung dengan yang lain, mungkin lebih elok untuk berfikir dalam terma mitos (fleksibel) berdasarkan hubungan struktur sesuatu Objek yang hilang, atau terletak jauh dari pemiliknya".[5] Teks Piramid dari Kerajaan Lama (s. 2686–2181 SM), salah satu sumber terawal mitos Mesir, menyebut kedua-dua Mata Horus[6] dan Mata Ra.[7]
Rujukan
Petikan
- ^ a b Darnell 1997, m/s. 35–37.
- ^ Pinch 2002, m/s. 128, 131.
- ^ Wilkinson 1992, m/s. 43.
- ^ Krauss 2002, m/s. 193.
- ^ Goebs 2002, m/s. 57.
- ^ Pinch 2002, m/s. 9–11, 131.
- ^ Klotz 2006, m/s. 104.
Pautan luar
- Mitos Mata Solar : Terjemahan Inggeris di attalus.org
Kategori berkenaan Mata Ra di Wikimedia Commons