![]() Ilustrasi daripada The Illustrated Natural History (Mammalia), diterbitkan pada tahun 1853, yang menunjukkan pengakuran anjing turnspit | |||||||||
Negara asal | United Kingdom | ||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| |||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Anjing turnspit[a] ialah anjing pupus bertungkai pendek dan bertubuh panjang yang dibiakbakakan untuk berlari di atas roda, yang dipanggil turnspit atau roda anjing, untuk memutarkan daging. Ia disebut dalam Of English Dogs pada tahun 1576 di bawah nama "Turnespete".[1] Memoirs of British Quadrupeds (1809) karya William Bingley juga berbahas tentang anjing yang ditugasi untuk membantu tukang masak. Ia juga dikenali sebagai anjing dapur, anjing memasak, anjing roda, atau anjing bawah. Dalam pengelasan abad ke-18 Linnaeus bagi anjing, ia disenaraikan sebagai Canis vertigus (juga digunakan sebagai nama bahasa Latin untuk dachshund).[perlu rujukan] Sesetengah sumber menganggap anjing turnspit sebagai sejenis terier Glen of Imaal,[2] manakala yang lain menjadikannya kerabat kepada corgi Wales.[3]
Dengan kemajuan teknologi dapur, keperluan untuk anjing turnspit berkurang. Lama-kelamaan, ia tidak lagi dibiakbakakan untuk fungsi spesifiknya dan bilangannya menjunam, yang akhirnya membawa kepada kepupusannya.
Satu contoh terpelihara anjing turnspit dipamerkan di Muzium Abergavenny di Abergavenny, Wales.[4]
Kerja

Anjing turnspit dibiakbakakan untuk berlari di atas roda untuk memutarkan daging supaya daging berkenaan masak dengan sekata. Oleh sebab sifat berat kerja itu, sepasang anjing kerap bekerja mengikut syif. Menurut John George Wood dalam The Illustrated Natural History (Mammalia) (1853):[5]
Sebagaimana penciptaan mesin pintal menghapuskan penggunaan kayu rahat dan roda, yang dahulunya hadir di dalam setiap kotej Inggeris terjaga baik, demikian juga penciptaan bicu pemanggang automatik telah memusnahkan kerja anjing turnspit, dan secara beransur-ansur telah hampir memusnahkan kewujudannya. Di sana sini, turnspit tunggal dapat dilihat, sama seperti roda pintal atau kayu rahat dapat dilihat di segelintir kotej terpencil; tetapi kedua-dua anjing dan alat merupakan pengecualian kepada peraturan umum, dan hanya layak mendapat perhatian sebagai peninggalan ganjil dari suatu masa dahulu.
Pada zaman dahulu, dan walaupun dalam ingatan generasi semasa, tugas memanggang daging atau unggas ialah tugas agak serius, dan memerlukan kehadiran berterusan tukang masak, untuk mengelakkan daging daripada dirosakkan oleh api tidak sekata. Bicu asap, kerana ini dipanggil dengan tidak betul—kerana ini diputarkan, bukan oleh asap, tetapi oleh udara panas yang melaju ke atas di dalam serombong—ialah penambahbaikan hebat, kerana pencucuk berputar pada kadar yang sepadan dengan haba api.
Walau bagaimanapun, radas sedemikian rumit tidak dapat digunakan untuk semua serombong asap, atau di semua tempat, dan, oleh itu, perkhidmatan anjing turnspit diminta semula. Pada satu hujung pencucuk itu, sebuah kotak bulat yang besar, atau roda berongga, diikat, sesuatu seperti roda dawai yang sedemikian kerap dicantumkan pada sangkar tupai; dan pada roda ini, anjing terbiasa melakukan tugas hariannya, dengan memastikannya terus bekerja. Memandangkan keperluan kerja adalah terlalu besar untuk seekor anjing tunggal, ada kebiasaan untuk membela sekurang-kurangnya dua ekor haiwan untuk tujuan itu, dan untuk membuat kedua-duanya melegakan satu sama lain pada selangan masa tetap. Anjing-anjing itu cukup dapat menghargai perjalanan masa, dan, jika tidak direhatkan daripada kerja keras pada waktu betul, akan melompat keluar dari roda tanpa arahan, dan memaksa temannya untuk mengambil alih tempatnya, dan menyelesaikan bahagian masing-masing dalam kerja keras harian.
Anjing ini juga dibawa ke gereja untuk berjasa sebagai pemanas kaki. Sebuah kisah menyebut bahawa semasa sembahyang di sebuah gereja di Bath, Uskup Gloucester menyampaikan khutbah dan mengucapkan ayat "Pada masa itulah Yehezkiel melihat roda...". Apabila perkataan "roda" disebut, beberapa anjing turnspit, yang telah dibawa ke gereja sebagai pemanas kaki, berlari ke arah pintu.[6]
Ratu Victoria membela anjing turnspit bersara sebagai haiwan peliharaan.[7]
Penampilan
Anjing turnspit diperihalkan sebagai "anjing bertubuh panjang, bertungkai bengkok, dan hodoh, dengan rupa mencurigakan dan tidak berpuas hati tentang dirinya".[8] Delabere Blaine, seorang doktor haiwan abad ke-19 (dan menggelar diri "bapa patologi anjing"), mengelaskan anjing turnspit sebagai keragaman spaniel.[9] Ia kerap ditunjukkan dengan jalur putih yang menuruni tengah mukanya. Menurut Memoirs of British Quadrupeds (1809) karya Bingley:[10]
[Anjing] turnspit adalah luar biasa kerana badan panjangnya dan tungkai yang pendek dan biasanya bengkok. Warnanya pada umumnya kelabu muram dan berbintik hitam atau sepenuhnya hitam dengan bahagian bawahnya yang berwarna keputih-putihan.
Anjing turnspit sekali lagi diperihalkan oleh H. D. Richardson dalam buku beliau Dogs; Their Origin and Varieties (1847):[11]
Anjing ini walaupun jelas-jelas anjing kacuk adalah lebih dekat dengan terier berbanding dengan yang lain dan atas sebab ini saya memerihalkannya sesama [terier]. Ia merupakan anjing kecil berbelakang panjang buatan persilangan dengan tungkai hadapan yang bengkok terlebih dahulu ke dalam dan kemudian ke luar, ia kerap berwarna pied atau berwarna glaukus seperti anjing besar Denmark dan terier harlekuin.
Tungkai bengkok paling berkemungkinan berpunca daripada leluhur sangat jauh seperti yang dinyatakan dalam Dogs And All About Them (1910) karya Robert Leighton:[12]
Antara baka berlainan yang dibela di Mesir, terdapat anjing serigala besar, anjing besar dengan binaan berat, telinga labuh, dan kepala runcing, sekurang-kurangnya dua keragaman grehaun yang digunakan untuk pemburuan gazel, dan satu baka kecil terier atau [anjing] turnspit, dengan tungkai pendek dan bengkok. Terier atau anjing turnspit ini kelihatannya telah dianggap sebagai haiwan peliharaan istimewa idi rumah, kerana ia diizinkan ke dalam ruang tamu dan dibawa sebagai pendamping untuk berjalan di ruangan luar. Ia dihiasi dengan kolar daun, atau kulit, atau logam berharga yang ditempa menjadi bentuk daun, dan apabila ia mati ia diawetkan. Setiap pekan di serata Mesir mempunyai tempat pengebumian untuk mumia anjing.
Gen untuk kondrodisplasia pada pelbagai baka bertungkai pendek telah disahkan dikesan kembali kepada satu mutasi leluhur tunggal.[13]
Lihat juga
Catatan
- ^ Jawi: انجيڠ ترنسڤيت; bahasa Inggeris: turnspit dog
Rujukan
- ^ Caius, John (1576). Of Englishe Dogges, the Diuersities, the Names, the Natures, and the Properties [Tentang Anjing Inggeris, Kepelbagaian, Nama, Sifat, dan Ciri] (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Fleming, Abraham. London, United Kingdom: L. Upcott Gill. m/s. 34–35.
- ^ American Kennel Club (18 Disember 2007). The Complete Dog Book [Buku Anjing Lengkap] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-20). New York, New York, Amerika Syarikat: Ballantine Books. m/s. 467. ISBN 9780307416995. OCLC 681630333.
- ^ Nelson, Davia; Silva, Nikki (13 Mei 2014). "Turnspit Dogs: The Rise And Fall Of The Vernepator Cur" [Anjing Turnspit: Kebangkitan dan Kejatuhan Vernepator Cur] (dalam bahasa Inggeris). NPR. Dicapai pada 25 Mei 2025.
- ^ "Wooden case containing Whiskey" [Bekas kayu yang mengandungi Whiskey] (dalam bahasa Inggeris). BBC. Dicapai pada 25 Mei 2025.
- ^ Wood, John George, penyunting (1870). Wood's Animal Kingdom: Illustrated [Alam Haiwan Wood: Berilustrasi] (dalam bahasa Inggeris) (ed. lengkap). London, United Kingdom: H. A. Brown. m/s. 316–317. OCLC 5032771.
- ^ Coren, Stanley (9 April 2002). The Pawprints of History: Dogs and the Course of Human Events [Tapak Kaki Sejarah: Anjing dan Perjalanan Peristiwa Manusia] (dalam bahasa Inggeris). Diilustrasi oleh Andy Bartlett. New York, New York, Amerika Syarikat: Free Press. m/s. 246–247. ISBN 9780743222280. OCLC 1463536870.
- ^ Vesey-Fitzgerald, Brian Seymour (1957). The Domestic Dog: An Introduction to Its History [Anjing Bela Jinak: Pengenalan kepada Sejarahnya] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Routledge & Kegan Paul. m/s. 137. OCLC 758991.
- ^ Anecdotes of Dogs, sebuah buku elektronik bebas di Projek Gutenberg
- ^ Blaine, Delabere Pritchett (1832). Canine Pathology [Patologi Anjing] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: T. & T. Boosey. m/s. 25. OCLC 7390818825.
- ^ Bingley, William (1809). Memoirs of British Quadrupeds [Memoir Kuadruped British] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Darton and Harvey. m/s. 151. OCLC 19415322.
- ^ Richardson, H. D. (1847). Dogs; Their Origin and Varieties, Direction as to Their General Management, and Simple Instructions as to Their Treatment Under Disease [Anjing; Asal Usul dan Keragamannya, Arah Pengurusan Umumnya, dan Arahan Mudah untuk Rawatan Penyakitnya] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Orange Judd. m/s. 73. OCLC 47887564.
- ^ Leighton, Robert (1910). Dogs and All About Them [Anjing dan Semua Tentangnya] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Cassell. OCLC 260324281.
- ^ Parker, Heidi G.; vonHoldt, Bridgett Marie; Quignon, Pascale; Margulies, Elliott Harrison; Shao, Stephanie; Mosher, Dana S.; Spady, Tyrone C.; Elkahloun, Abdel G.; Cargill, Michele; Jones, Paul G.; Maslen, Cheryl L.; Acland, Gregory M.; Sutter, Nathan B.; Kuroki, Keiichi; Bustamante, Carlos Daniel; Wayne, Robert Keith; Ostrander, Elaine Ann (16 Julai 2009). "An Expressed Fgf4 Retrogene Is Associated with Breed-Defining Chondrodysplasia in Domestic Dogs" [Satu Retrogen Fgf4 Terekspresi Dikaitkan dengan Kondrodisplasia Penentu Baka pada Anjing Bela Jinak]. Science (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Amerika untuk Kemajuan Sains. 325 (5943): 995–998. Bibcode:2009Sci...325..995P. doi:10.1126/science.1173275. ISSN 0036-8075. JSTOR 20544365. PMC 2748762. PMID 19608863. S2CID 13775075.
Bacaan lanjut
- Morris, Desmond (22 November 2001). Dogs: The Ultimate Dictionary of Over 1,000 Dog Breeds [Anjing: Kamus Muktamad Lebih daripada 1,000 Baka Anjing] (dalam bahasa Inggeris). North Pomfret, Vermont, Amerika Syarikat: Ebury Publishing. ISBN 9780091870911. OCLC 47063457.
Pautan luar
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Anjing turnspit |
- ""Whiskey" the turnspit dog, 19th century" ["Whiskey" si anjing turnspit, abad ke-19] (dalam bahasa Inggeris). People's Collection Wales. Dicapai pada 25 Mei 2025.
- "Dog wheel turnspit, 18th century, Coed Cernyw, Monmouthshire" [Turnspit roda anjing, abad ke-18, Coed Cernyw, Monmouthshire] (dalam bahasa Inggeris). People's Collection Wales. Dicapai pada 25 Mei 2025.