Sebahagian daripada siri |
Agama Mesir Purba |
---|
![]() |
Portal Mesir Purba |
Kitab Lembu Syurgawi, atau Kitab Lembu Syurga, merupakan sebuah teks Mesir purba yang dipercayai berasal dari zaman Amarna dan, sebahagiannya, menerangkan sebab-sebab keadaan dunia yang tidak sempurna dari segi pemberontakan manusia terhadap dewa matahari tertinggi, Ra. Hukuman ilahi dikenakan oleh dewi Hathor, dengan orang yang terselamat menderita akibat Ra memisahkan dirinya, yang kini bersemayam di langit di atas belakang Nut, lembu syurgawi.
Dengan "kejatuhan" ini, penderitaan dan kematian muncul di dunia, bersama-sama patahnya kesepaduan ciptaan.[1] Dewa pencipta itu berubah menjadi banyak jasad syurgawi, mencipta "Padang-Padang Syurga" untuk si mati yang diberkati, mungkin melantik Geb sebagai pewarisnya, menyerahkan pemerintahan umat manusia kepada Osiris (Thoth memerintah langit malam sebagai wakilnya), dengan Shu dan dewa-dewa Heh kini menyokong dewi langit Nut.[2]:{{{1}}}
Walaupun teks ini direkodkan dalam zaman Kerajaan Baru, ia ditulis dalam Bahasa Mesir Pertengahan dan mungkin ditulis semasa zaman Kerajaan Pertengahan.[3]
Huraian
Salinan terawal Kitab Lembu Syurgawi ditemui dalam keramat berlapis emas paling luar milik Tutankhamun; namun, teks purba itu tidak lengkap. Tiga versi lengkap teks purba ini ditemui pada dinding makam Seti I, Ramesses II, dan Ramesses III. Setiap versi teks ditemui di bilik sampingan kamar sarkofagus yang direka khas untuk Kitab Lembu Syurgawi. Ramesses VI tidak mempunyai bilik sampingan tetapi petikan daripada kitab itu tertera dalam ceruk di makamnya. Petikan lain ditulis pada papirus dari zaman Ramsisisyah, kini berada di Turin.[4]:{{{1}}}
Asal usul
Kitab ini mungkin berasal daripada kisah-kisah mitos fajar dalam Teks Piramid, tetapi menjelang Kerajaan Baru idea ini dikembangkan untuk menerangkan kematian dan penderitaan dalam penciptaan yang tidak sempurna.[2]:{{{1}}} Karya ini dilihat sebagai sejenis teodisi (usaha agama untuk menerangkan kejahatan dunia) dan suatu teks magis untuk memastikan raja itu dapat naik ke syurga.[5] Temanya juga dilihat mirip dengan kisah kebinasaan manusia yang lebih maju dalam mitos banjir Mesopotamia dan agama samawi. Pemerintahan Akhenaten – firaun yang cuba memutuskan tradisi agama yang sedia ada – mungkin menjadi inspirasi untuk karya ini.
Kandungan

Kitab Lembu Syurgawi dibahagikan kepada dua dengan imej lembu dan penyokong-penyokongnya. Tiada pecahan yang jelas dalam teks sebenar Kitab Lembu Syurgawi, selain daripada gambaran Lembu Syurgawi. Disebabkan caranya dipersembahan, tiada pecahan ketara untuk bagaimana teks ini dapat dibahagikan. Walau bagaimanapun, ahli Egiptologi yang mengkaji teks ini mencadangkan pembahagian teks ini kepada empat bahagian longgar. Bahagian pertama menerangkan "Pemusnahan Umat Manusia", yang mana manusia berkomplot terhadap dewa matahari Ra. Selepas Ra berunding dengan dewa-dewa lain, dewi Hathor dipilih oleh Ra untuk bertindak sebagai Mata Ra yang ganas. Dia menyampaikan hukuman ilahi kepada manusia dan melakukannya dengan membunuh para pemberontak dan membawa maut ke dunia. Yang terselamat daripada amarah Hathor diselamatkan, apabila Ra memperdaya Hathor dengan meletakkan bir berwarna yang menyerupai darah, yang diminum oleh Hathor sehingga dia mabuk. Bahagian akhir teks menerangkan penaikan Ra ke langit, penciptaan alam bawah tanah, dan dengan teologi sekitar ba (roh).[4]:{{{1}}} Struktur teks Mesir purba Kitab Lembu Syurgawi ini terbahagi kepada 330 ayat, dengan separuh teksnya ditempatkan sebelum penerangan atau gambaran Lembu Syurgawi. Bahasa yang digunakan dalam Kitab Lembu Syurgawi menunjukkan akar daripada pengaruh Bahasa Mesir Akhir. Disebabkan teks purba ini mengandungi akar daripada bahasa Mesir Akhir, ia dipercayai secara meluas dalam kalangan sarjana Egiptologi bahawa Kitab Lembu Syurgawi berasal dari zaman Amarna.
Teks ini mempunyai tiga imej:
- Dewi Nut (dalam bentuk lembu) disokong oleh lapan dewa Heh
- Neneh (kiri) dan Djet (kanan) sebagai penyokong langit
- Firaun sebagai penyokong langit
Penerbitan
Dengan penemuan Kitab Lembu Syurgawi, terdapat banyak penerbitan tahun demi tahun yang membincangkan kandungan teks purba ini. Pada tahun 1876, Édouard Naville menerbitkan terjemahan Inggeris dan Perancis versi Kitab Lembu Syurgawi dari makam Seti I. Ia memperincikan kandungan teks purba ini serta memberikan banyak pandangan tentang Kitab Lembu Syurgawi.
Dengan penemuan teks dalam Ramesses III, yang lain menerbitkan banyak buku mengenai Kitab Lembu Syurgawi. Pada tahun 1881, Heinrich menerbitkan versi bahasa Jerman (yang pertama seumpamanya). Versi buku ini menterjemahkan kandungan Kitab Lembu Syurgawi ke dalam bahasa Jerman dengan pandangan tentang keseluruhan teks purba ini.
Alexandre Piankoff pada tahun 1955 menerbitkan salah satu terjemahan pertama Kitab Lembu Syurgawi yang banyak memperincikan naratif penciptaan dan Erik Hornung pada tahun 1983 melakukan perkara yang sama tetapi dengan lebih terperinci.
Antonio Loprieno dan James P. Allen merupakan dua individu yang telah menyumbang kepada subjek Kitab Lembu Syurgawi. Ancient Egyptian Literature oleh Loprieno diterbitkan pada tahun 1996. Bukunya terdiri daripada kira-kira dua puluh sumbangan oleh ahli Egiptologi. Kebanyakannya didedikasikan untuk sejarah dan genre yang merangkumi linguistik, ciri stilistik, dan banyak imej Mesir purba. Bahagian yang khusus membincangkan Kitab Lembu Syurgawi ialah bahagian Mitos dan Naratif. Ia memperincikan apa itu naratif serta bagaimana mitos mempengaruhinya. Buku James P. Allen Genesis In Egypt: The Philosophy of Ancient Egyptian Creation Accounts, diterbitkan pada tahun 1988, terdiri daripada ribuan teks yang membincangkan kosmologi dan kosmogoni Mesir purba. Ia memberi penjelasan tentang soalan yang membelenggu fikiran ahli Egiptologi selama bertahun-tahun, asal usul dunia (yang dibincangkan dalam bahagian lembu syurgawi).
Anthony Spalinger pada tahun 2000 menerbitkan terjemahannya tentang Kitab Lembu Syurgawi yang banyak memperincikan teks sebagai mitos, serta tentang zaman ia berasal.
Nota
- ^ Hornung, Erik (2001). The Secret Lore of Egypt: Its Impact on the West. Diterjemahkan oleh Lorton, David. Cornell University Press. m/s. 17. ISBN 0-8014-3847-0.
- ^ a b Pinch, Geraldine (2004). A Guide to the Gods, Goddesses, and Traditions of Ancient Egypt. Oxford University Press. m/s. 75, 77. ISBN 0-19-517024-5.
- ^ Lichtheim, Miriam (1976). Ancient Egyptian Literature. University of California Press. m/s. 197–198. ISBN 0-520-03615-8.
- ^ a b Hornung, Erik (1999). The Ancient Egyptian Books of the Afterlife. Cornell University Press.
- ^ Assmann, Jan (2001), The search for God in ancient Egypt, diterjemahkan oleh Lorton, David, Cornell University Press, m/s. 116, ISBN 0-8014-8729-3
Rujukan
- Trigger, B.G, Kemp, B.G, O'Connor, D and Lloyd, A.B (2001). Ancient Egypt, A Social History. Cambridge: Cambridge University Press.
- Allen, James P. Genesis in Egypt: The Philosophy of Ancient Egyptian Creation Accounts. New Haven, CT: Yale Egiptological Seminar, Dept. of Near Eastern Languages and Civilizations, Graduate School, Yale University, 1988.
- Loprieno, Antonio. Ancient Egyptian Literature: History and Forms. Leiden: E.J. Brill, 1996.
- Quirke, Stephen G. 1996. Narrative literature. In Loprieno, Antonio (ed.), Ancient Egyptian literature 263–276. Leiden; New York; Köln: E. J. Brill.
- Baines, John 1996. Myth and literature. In Loprieno, Antonio (ed.), Ancient Egyptian Literature, 361–377. Leiden; New York; Köln: E. J. Brill.
- Spalinger Anthony, The Destruction of Mankind: A Transitional Literary Text (Studien Zur Altagyptischen Kultur 28: 2000), 257–282. https://www.jstor.org/stable/25152827