Mnevis | |
---|---|
![]() | |
Pusat kultus utama | Heliopolis |
Simbol | lembu jantan hitam, cakera matahari |
Anak | Apis (menurut golongan pendeta Mnevis) |
Sebahagian daripada siri |
Agama Mesir Purba |
---|
![]() |
Portal Mesir Purba |
Mnevis (Yunani Purba: Μνέυις, Qibti: ⲉⲙⲛⲉⲩⲓ; Jawi: منيۏيس)[1] merupakan nama Yunani bagi dewa lembu Mesir purba yang pusat pemujaannya terletak di Heliopolis, dan dikenali oleh orang Mesir purba sebagai Mer-wer atau Nem-wer.[2]
Walaupun pada asalnya dewa yang berasingan, ia kemudian diasimilasikan dengan dewa sinkretik Atum-Ra sebagai manifestasi fizikalnya, dan juga dianggap sebagai ba Ra. Mnevis sering digambarkan sebagai lembu jantan hitam yang memakai cakera matahari dan ureus.[2] Seperti yang dilaporkan oleh Plutarch, lembu Mnevis merupakan yang kedua terpenting selepas lembu Apis dari Memphis. Seperti lembu Apis, pergerakan lembu Mnevis dipercayai digerakkan oleh kehendak ilahi, dan digunakan sebagai takahun atau tukang tilik. Golongan pendeta Mnevis juga mendakwa bahawa Mnevis tidak lain tidak bukan bapa kepada Apis yang lebih terkenal.[2]
Lembu Mnevis diperuntukkan dua orang gundik, lebih tepatnya dua lembu betina yang mewakili Hathor dan Iusaaset. Apabila lembu itu mati, ia akan ditahmitkan dan dikebumikan dengan serba penghormatan di nekropolis khas yang terletak tidak jauh dari kuil di Heliopolis.[2] Satu lagi kawasan perkuburan dikhaskan untuk "Ibu Mnevis" yang dianggap sebagai penjelmaan dewi lembu Hesat. Selepas kematian seekor lembu Mnevis, penggantinya akan dicari, biasanya seekor lembu jantan yang benar-benar hitam. Hanya ada satu lembu Mnevis pada satu-satu masa.[2]
Kultus Mnevis merupakan antara sedikit yang dibenarkan semasa "bidaah Amarna" Raja Akhenaten, mungkin kerana sifat mataharinya. Akhenaten diketahui pernah memerintahkan pembinaan nekropolis untuk lembu Mnevis di Akhetaten, namun ia belum ditemui.[2]
Lihat juga
Rujukan
- ^ THE DEMOTIC DICTIONARY OF THE ORIENTAL INSTITUTE OF THE UNIVERSITY OF CHICAGO. Chicago. 2002. m/s. 153.
- ^ a b c d e f Wilkinson, Richard H. (2003). The Complete Gods and Goddesses of Ancient Egypt. New York: Thames & Hudson. m/s. 174-175. ISBN 0-500-05120-8.
Pautan luar
Kategori berkenaan Mnevis di Wikimedia Commons